PRESTASI EKONOMI PAHANG BERADA DALAM LANDASAN YANG TEPAT – SULTAN PAHANG

KUANTAN, 30 JULAI 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersyukur dan memuji prestasi ekonomi negeri yang disifatkan kini berada di landasan yang tepat bagi menjayakan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun baginda berharap agar kerajaan sentiasa memastikan pelaksanaan projek pembangunan diselia dengan teliti dan terancang sepenuhnya bagi menghindari menghindari pembaziran dan ketirisan yang akan menjejaskan sumber kewangan negeri dan merugikan semua pihak.

“Dalam itu juga, beta begitu optimis dengan manfaat ekonomi yang akan berlipat kali ganda setelah Projek ECRL dan LTU selesai pada akhir tahun 2026. Semoga pembangunan ini mampu memberi impak yang positif kepada sumber pendapatan negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.

Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengkaji dengan mendalam mengenai rancangan pembangunan di Cameron Highlands khususnya pembangunan-pembangunan pada masa akan datang.

“Hanya dengan pendekatan yang holistik, tegas dan lestari akan dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” tegas baginda.

Baginda turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan Pahang yang telah memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan pembangunan di negeri ini seiring dengan kebajikan rakyat.

“Beta juga sedia maklum kerajaan beta telah berjaya menyalurkan pelbagai bentuk kebajikan kepada rakyat terutamanya menerusi Bantuan Prihatin Pahang serta inisiatif-inisiatif lain dalam membantu rakyat secara terus kepada golongan yang memerlukan.

“Ini kerana agenda kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan dalam pemerintahan beta. Semua lapisan masyarakat perlu mendapat manfaat hasil daripada pendapatan negeri ini yang meningkat setiap tahun,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menzahirkan rasa kecewa baginda berkenaan nilai integriti yang lemah sehingga menyumbang kepada masalah ‘penjajahan’ warga asing di negeri ini.

“Oleh itu, beta mahu kerajaan beta memantau aktiviti ini dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan aktiviti seperti ini tidak lagi berlaku.

“Tiada kompromi terhadap isu seperti ini daripada beta, jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara. Laksanakanlah amanah yang diberi ini dengan penuh integriti dan ingatlah, setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak,” titah baginda.

SUMBER: PAHANGMEDIA

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut