KUANTAN, 30 JULAI 2024 : Kerajaan Pahang berjaya mencatat negeri kedua daripada empat negeri terbaik prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahap 5.2 peratus, mengatasi KDNK Nasional iaitu 3.6 peratus pada tahun lalu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan ekonomi negeri ini dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan, produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
“Selain itu, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah mencapai tahap 67.98 peratus, serta pembinaan Lingkaran Tengah Utama pada tahap 63.35 peratus, akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri apabila ia siap sepenuhnya pada akhir tahun 2026.
“Pembinaan kedua-dua laluan ini dilihat mampu memacu aktiviti komersial, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Persembahan Ucapan Ikrar Taat Setia Mewakili Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan Berkanun Dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Pahang bersama Sekretariat Pahang For Palestine telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebanyak 30 tan, pada 20 Mei lalu dengan kerjasama Wisma Putra menerusi Ops Ihsan.
“Alhamdulillah, sebanyak RM1.6 juta berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Pahang4Palestine, dan kutipan ini akan diteruskan bagi membolehkan lebih banyak lagi sumbangan dihantar bagi membantu saudara-saudara kita yang dizalimi, ditindas dan dibunuh Rejim Israel tanpa ada sifat kemanusiaan dan simpati,” katanya.
SUMBER: PAHANGMEDIA