BALIKPAPAN: Mesyuarat Teknik Dan Sidang Ke 26 (7) Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sosio Ekonomi Malaysia – Indonesia (SOSEK MALINDO) Peringkat Provinsi Kalimantan Utara (KALTARA)/Negeri Sabah telah berlangsung di Hotel Novotel Balikpapan, Indonesia pada 16 hingga 19 Julai 2024.
Persidangan tahunan ini berlangsung dalam suasana penuh muhibah di antara perwakilan kedua-dua negara melibatkan pertemuan tiga (3) kumpulan teknik bagi membincang dan mengemudi hala tuju kerjasama dan isu-isu berkaitan dalam bidang:
* Sosial dan Budaya;
* Ekonomi, Perdagangan dan Perhubungan; serta
* Keselamatan dan Pengurusan Sempadan.
Delegasi negeri Sabah yang terdiri dari pelbagai jabatan dan agensi pemegang taruh (stakeholders) diketuai oleh YBhg. Datuk Hajah Diyanah binti Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri telah mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara
bersama-sama delegasi KALTARA yang diketuai oleh Yang Terhormat Bapak H. Datu Iqro Ramadhan selaku Pemerintah Provinsi KALTARA. Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini diakhiri dengan majlis menandatangani risalah kesepakatan di antara kedua-dua pihak terlibat.
Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah memegang peranan selaku urus setia bersama persidangan ini dengan diketuai oleh Pengarah Keselamatan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Noor Alam Khan bin A. Wahid Khan yang turut bertindak selaku Ketua Sekretariat / Setiausaha bagi delegasi negeri Sabah.
Selaras dengan kerancakan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan, platform kerjasama SOSEK MALINDO yang telah berlangsung selama tujuh (7) kali ini dilihat memberi manfaat, meningkatkan kerjasama dan persefahaman di antara kedua-dua pihak terutamanya melibatkan perbincangan pelbagai isu berkaitan yang berlaku di persempadanan Sabah dan KALTARA serta akan terus kekal relevan sebagai wadah penyambung silaturrahim antara dua buah negara.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
#BKN2024