Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan merampas pelbagai barang kawalan termasuk yang bersubsidi dipercayai disimpan secara haram di sebuah premis di Jalan Senawang Perdana dekat sini pada Ahad. Menurut Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan, sebanyak 2,549 kilogram (kg) barang kawalan ditemui antaranya gula, minyak masak dan tepung gandum yang dianggarkan bernilai RM6,556.90.
Dalam serbuan jam 11.30 pagi melalui Ops Tenera, kami menemui gula putih kasar seberat 264 kg, gula putih premium 24 kg, minyak masak 2,121 kg dan tepung gandum 140 kg. Turut dirampas adalah invois belian barang kawalan untuk tujuan siasatan lanjut. Serbuan membabitkan lima anggota itu dibuat hasil daripada risikan yang berjaya mengesan stor simpanan barangan kawalan di premis.
Anggota serbuan menahan seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun yang mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas premis dan juga disyaki berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang sah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan selain daripada premis yang dilesenkan oleh Pengawal Bekalan. Pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual supaya mematuhi perundangan yang berkuatkuasa.
Sumber : Sinar Harian