SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas minyak petrol dan minyak masak bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di kawasan laut Tobo-Tobo, di sini semalam.
Semua barang kawalan berkenaan dirampas oleh anggota PPM Semporna semasa menjalankan pemantauan di perairan Semporna, kira-kira jam 4.30 petang.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengesan sebuah perahu yang ditinggalkan di kawasan bakau dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota PPM Semporna segera menghampiri perahu berkenaan untuk membuat pemeriksaan terhadap muatan yang ditinggalkan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 80 jerikin berisi 2,000 liter minyak petrol dan lapan kotak mengandungi 136 kilogram minyak masak di dalam perahu berkenaan.
“Selepas menunggu selama sejam mendapati tiada pihak yang tampil untuk menuntut dan mengaku hak milik barang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barang kawalan berkenaan dipercayai disembunyikan di kawasan bakau sebelum diseludup keluar ke negara jiran.
“Perahu dan semua barang kawalan yang dianggarkan berjumlah RM35,440 itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjut,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: INFO X