SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki yang disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan di perairan Sandakan, baru-baru ini.
Semua suspek terbabit ditahan oleh pasukan bot peronda APMM Zon Maritim Sandakan dalam satu operasi kira-kira jam 2 pagi.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Katanya, pasukan APMM mengarahkan bot suspek berhenti untuk pemeriksaan dokumentasi dan barang yang mereka dibawa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan tekong berusia 70 tahun yang memegang kad pengenalan pemastautin tetap.
“Manakala dua lagi adalah awak-awak berusia 27 dan 43 tahun masing-masing memegang kad pengenalan pemastautin tetap dan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Barang kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran. – Foto/APMM
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan barang kawalan bersubsidi iaitu 150 kilogram (kg) beras, 48kg gula dan 17kg minyak masak tanpa permit yang sah dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Semua barang kawalan dan bot yang dianggarkan bernilai RM63,000 itu dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” katanya.
.#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: INFO X