HANYA APEK CHIEW KEKAL BERTAHAN DI WISMA PUNCA EMAS, MENJAHIT DALAM BANGUNAN TIADA ELEKTRIK

Tukang jahit warga emas satu-satunya peniaga yang masih bertahan di Wisma Punca Emas di bandar ini. Pemilik perniagaan Tukang Jahit Gentlemen, Chiew Chea Cheong, 69, yang beroperasi sejak 1983 mampu bertahan kerana mempunyai pelanggan tetap pelbagai kaum. Sekitar 1980-an, Wisma Punca Emas antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan warga Negeri Sembilan, terutamanya penduduk Seremban, namun bermula tahun 2000, seorang demi seorang peniaga mulai keluar.

Menurut Chea Chong, pendapatan yang diperoleh ketika ini hanya sekadar cukup makan, namun dia tidak perlu memikirkan perbelanjaan keluarga kerana semua anak sudah bekerja. Beliau berniaga di sini sejak 1983, ketika itu Wisma Punca Emas nadi penduduk di sini. Sebut saja, pelbagai kedai ada di sini, dari A sampai Z. Sekitar tahun 2000, sedikit demi sedikit peniaga keluar berpindah ke tempat lain kerana pembangunan pusat beli-belah lain.

Pada 2018, berlaku kebakaran di sini, ramai peniaga terpaksa gulung tikar kerana kejadian itu mengakibatkan bekalan elektrik keseluruhan bangunan terputus.  Bangunan yang siap dibina pada awal 1980-an berkenaan didapati dalam keadaan gelap-gelita walaupun pada siang, namun kebanyakan unit kedai masih mempunyai papan tanda perniagaan. Sejak kebakaran itu, tiada bekalan elektrik di premis berkenaan dan peniaga yang masih beroperasi hanya dia bersama seorang doktor. Untuk bekalan elektrik, beliau menggunakan jana kuasa dan berkongsi dengan doktor berkenaan di kliniknya. Setiap hari beliau membeli petrol sebanyak RM15. Namun, beberapa tahun lalu, doktor berkenaan sudah menutup klinik kerana faktor usia, kini hanya tinggal beliau seorang bertahan di sini dan sewa premis juga sudah tidak dibayar lagi.

Apa yang menarik, Chea Chong yang menjalankan perniagaan dari jam 11 pagi hingga 6 petang masih lagi menggunakan dua mesin jahit lama kerana lebih selesa dengan mesin berkenaan. Dia menerima tempahan baju kurung dengan kadar RM130 sepasang daripada pelanggan tetap selain tempahan baju batik daripada penjawat awam. Masih ada pelanggan tetap yang hantar baju kepadanya daripada pelbagai bangsa. Bayaran yang dikenakan juga lebih murah. Beliau juga tidak berasa takut bergelap dalam bangunan itu kerana sudah terbiasa selain pada hari tertentu, ada rakan datang melepak dengannya.

Sumber: Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut