LAWAT: Mohd Arifin ketika melawat keadaan SM St Michael Penampang yang terjejas akibat banjir.
PENAMPANG: Kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) akan mencari jalan sewajarnya bagi membantu sekolah-sekolah yang terjejas banjir di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) khususnya dari segi bantuan peralatan sekolah yang rosak.
Beliau bersama Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah (SM) St Michael di sini bagi meninjau keadaan sekolah berkenaan selepas terjejas teruk akibat banjir.
Menurutnya, anggaran perbelanjaan untuk bantuan peralatan sekolah atau membaik pulih kerosakan akan diperoleh dari pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, tindakan berkenaan dijalankan seperti yang diarahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor supaya pihak berkaitan terus memantau keadaan sekolah yang terjejas banjir.
“Hari ini kita melawat salah sebuah sekolah yang terkesan banjir dan didapati banyak kerosakan.
“Kita akan cari jalan untuk bantu dan saya ucapkan syabas kepada pihak sekolah terutama pengetuan dan guru kerana bergotong-royong untuk memulakan usaha membersih atau memulihkan sekolah daripada kesan banjir,” katanya kepada media selepas lawatan itu di sini hari ini.
Beliau akan berbincang dengan pengarah cara untuk bantu sekolah yang terlibat dan mungkin mendapatkan bantuan dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun katanya, bantuan dari kerajaan negeri akan diusahakan dengan mencari jalan dalam membantu sekolah yang terkesan banjir
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Utusan Boreno Online