TINJAU: Jauteh (kiri) mendengar penerangan mengenai situasi banjir daripada Sammy (tengah) semasa meninjau keadaan banjir di IPD Penampang. Gambar ihsan IPD Penampang
PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang antara lokasi yang terjejas banjir di daerah ini.
Hujan lebat sejak petang semalam mengakibatkan kawasan sekitar IPD Penampang terjejas teruk akibat banjir.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun sempat turun padang bagi meninjau keadaan banjir di IPD Penampang pada jam 11 malam tadi.
BANJIR: Keadaan IPD Penampang yang terjejas teruk akibat banjir.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton bersama Ketua-Ketua Bahagian IPD Penampang turut sama berada di lokasi.
Biarpun terjejas banjir, namun pegawai dan anggota IPD Penampng terus menjalankan tugas memantau kawasan terjejas banjir sekitar Penampang.
Sammy turut membantu menyelamatkan warga emas yang terperangkap dalam kenderaan di kawasan banjir berhampiran Jalan Kasigui Penampang.
BANTU: Sammy membantu seorang warga emas yang terperangkap dalam kenderaan akibat banjir.
Beliau bersama pasukan petugas Op Banjir Daerah Penampang terus bertugas dan turun padang bermula semalam bagi memantau keadaan banjir yang melanda daerah ini.
Pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melalui kawasan atau laluan yang terjejas banjir bagi mengelak keadaan yang tidak diingini dari berlaku.
Kejadian banjir di Penampang kali ini adalah yang pertama direkodkan tahun ini hingga menjejaskan banyak kawasan penempatan penduduk.
PPS: Sammy (kanan) bersama Jauteh (kiri), dan Francis (tengah) ketika melawat keadaan mangsa banjir di PPS Penampang.
Selepas meninjau keadaan banjir di IPD Penampang, Jauteh dan Sammy turut mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang.
Pegawai Daerah Penampang merangkap Pengurusi Jawatankuasan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang Francis Chong turut sama berada di lokasi PPS terbabit.
Terdahulu, Francis dalam kenyataannya mengumumkan pengisytiharan bencana bagi daerah Penampang pada jam 7.25 malam Ahad berikutan keadaan banjir teruk hingga menjejaskan banyak kawasan sekitar daerah ini.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Utusan Borneo Online