Berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Makkah, Arab Saudi saban tahun untuk menunaikan ibadah haji. Rukun Islam kelima ini adalah satu perhimpunan besar-besaran yang menuntut langkah keselamatan yang teliti dan menyeluruh untuk memastikan keselamatan jemaah haji. Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan pelbagai kaedah serta penggunaan teknologi terkini untuk meningkatkan keselamatan pada musim haji. Berikut adalah beberapa kaedah utama yang digunakan:
- Penggunaan Teknologi Canggih
Kerajaan Arab Saudi telah melabur dalam pelbagai teknologi terkini untuk memantau dan menguruskan pergerakan jemaah haji. Antaranya pemasangan ribuan kamera CCTV di kawasan strategik Makkah dan Madinah untuk memantau pergerakan jemaah secara langsung. Dron juga turut diterbangkan untuk mengawasi kawasan yang sukar dijangkau dan memastikan keselamatan dari udara.
Selain itu, setiap jemaah haji turut dibekalkan gelang pintar berteknologi GPS. Gelang ini bukan sahaja membantu dalam menjejaki pergerakan jemaah tetapi juga turut mengandungi maklumat peribadi dan kesihatan jemaah yang boleh diakses dalam keadaan kecemasan.
Jemaah haji turut dibantu menerusi Aplikasi mudah alih seperti “Hajj Navigator” dan “Mutawef” yang telah dibangunkan untuk membantu jemaah mencari jalan, mendapatkan maklumat penting, dan melaporkan sebarang masalah keselamatan dengan cepat.
- Pengurusan Perhimpunan Orang Ramai Yang Bersistematik
Umum mengetahui bahawa aliran trafik Jemaah haji pada setiap kali menjelang musim ibadah tersebut amat merumitkan. Menguruskan pergerakan jutaan jemaah dalam ruang yang terhad memerlukan perancangan yang teliti dan penggunaan kaedah pengurusan orang ramai yang berkesan. Antara pendekatan yang digunakan termasuk pembentukan Zon Kawalan waktu berperingkat yang dibenarkan dihadkan bagi pergerakan jemaah di lokasi-lokasi utama seperti Jambatan Jamarat diaturkan mengikut jadual waktu berperingkat untuk mengelakkan perhimpunan yang terlalu padat pada satu-satu masa.
Selain itu, kerajaan Saudi juga turut melibatkan penambahan pengurus trafik dan sukarelawan bagi membantu usaha pemantauan keselamatan ketika musim haji. Pengurus Trafik dan Sukarelawan ini telah ditempatkan di kawasan strategik untuk mengawal pergerakan dan membantu memberikan arahan kepada jemaah haji untuk mengelakkan kesesakan trafik yang berintensiti tinggi.
- Peningkatan Kemudahan Kesihatan
Kerajaan Arab Saudi telah mempertingkatkan keselamatan kesihatan dengan meningkatkan kemudahan kesihatan dengan penubuhan puluhan Hospital dan Klinik Mudah Alih yang didirikan di Makkah, Mina, Arafah, dan Muzdalifah. Kemudahan ini dilengkapi dengan peralatan perubatan terkini . Selain itu Pasukan perubatan khas yang terdiri daripada doktor, jururawat, dan paramedik disediakan untuk memberikan bantuan kecemasan dan rawatan segera kepada jemaah yang memerlukan.
Bagi memastikan pencegahan wabak, langkah-langkah pencegahan seperti penyaringan kesihatan di pintu masuk, vaksinasi wajib, dan kempen kesedaran kesihatan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko penularan penyakit.
- Kerjasama Antarabangsa dan Latihan
Kerajaan Arab Saudi juga bekerjasama dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk memastikan keselamatan jemaah haji. Program latihan dan simulasi kecemasan diadakan secara berkala untuk melatih pasukan keselamatan dan petugas haji dalam mengendalikan situasi kecemasan.
Antara lain, Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan notis kepada Ketua Rombongan Haji (KRH) semua negara pada musim haji tahun 2024 tentang langkah mengadakan kawalan keselamatan ketat bagi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji.
KRH Malaysia bagi tahun 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata notis yang pertama kali dikeluarkan itu mengandungi peringatan kepada KRH agar tidak membantu pergerakan atau penginapan mereka yang tiada visa haji sah. Kerjasama erat antara kerjaan Arab Saudi dan delegasi Antarabangsa dilihat mampu melancarkan urusan haji disamping memastikan keselamatan tetamu yang tiba di tanah haram tersebut.
- Pembaharuan Infrastruktur
Peningkatan dan penyelenggaraan infrastruktur seperti Jambatan Jamarat, Masjidil Haram, dan sistem pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan jemaah. Penggunaan laluan khas dan pengangkutan awam yang efisien membantu mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan pergerakan jemaah.
Kesimpulan
Arab Saudi telah mengambil pelbagai langkah proaktif dan berinovasi untuk memastikan keselamatan jemaah haji. Penggunaan teknologi canggih, pengurusan orang ramai yang efisien, peningkatan kemudahan kesihatan, kerjasama antarabangsa, dan pembaharuan infrastruktur adalah antara langkah utama yang diambil. Dengan komitmen yang tinggi terhadap keselamatan, kerajaan Arab Saudi terus mempamerkan usaha dan komitmen untuk memastikan pengalaman haji yang selamat dan lancar bagi semua jemaah haji yang tiba dari segenap pelusuk dunia.