DASAR JENAYAH SIBER PERLU DITAMBAH BAIK ELAK WANITA JADI MANGSA

SEBANYAK 3,075 insiden keselamatan siber dilaporkan di negara ini pada 2020 dengan peningkatan 109.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. Berdasarkan statistik hampir 60 peratus daripada mangsa gangguan siber adalah dalam kalangan wanita, gejala ini memperlihat trend ancaman terhadap golongan itu yang menjadikan mereka sebagai golongan rentan.

Wanita bukan sahaja menjadi mangsa buli atau doxing apabila data peribadi diambil tanpa kebenaran dan dijadikan bahan buli di media sosial, bahkan mereka turut menjadi sasaran penipuan digital dan love scam yang mengakibatkan tekanan emosi serta perasaan.

‘Doxing’ merujuk kepada amalan menyelidik serta menyiarkan maklumat peribadi seseorang individu atau organisasi melalui internet khususnya media sosial.

Amalan ini menggunakan maklumat peribadi dan menyebarkan di internet oleh seseorang tidak bertanggungjawab, bertujuan memalukan dan dengan dengan sengaja mengajak netizen untuk memarahi serta membuli mangsa dengan memuat naik status. Doxing antara salah satu bentuk serangan siber.

Doxing berlaku apabila seseorang individu mempamerkan maklumat peribadi mangsa dengan bertujuan memalukan, mengugut dan menghukum mangsa. Kesan tindakan itu akan menyebabkan mangsa terkesan dari segi mental dan fizikal.

Ia berlaku dengan niat pelaku menyiarkan maklumat peribadi seseorang, bertujuan menyebabkan gangguan, ketakutan dan tekanan emosi kepada mangsa atau menyiarkan maklumat peribadi mangsa dengan pengetahuan akan menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Kebanyakan mangsa doxing adalah wanita dan golongan rentan.

Setakat ini, akta berhubung doxing atau buli siber masih kabur, sebaliknya Malaysia hanya menggunakan peruntukan seperti Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 serta beberapa akta lain seperti Akta Jenayah Komputer 1997 untuk mendakwa penjenayah siber.

Dilihat pergantungan kepada akta ini kurang memadai untuk membendung jenayah siber semakin kompleks setiap hari terutama dalam melindungi wanita dan golongan rentan.

Terdapat banyak kajian dijalankan International Human Rights Law, bahawa doxing terjadi kerana disebabkan kekurangan kluster perundangan yang menyebabkan mangsa buli siber dibiar tanpa pembelaan.

Keadaan ini turut terjadi juga, disebabkan perbezaan rangka perundangan di setiap negara yang menyebabkan hanya negara tertentu tidak dapat mengaplikasikan undang-undang pada jenayah siber termasuklah Kesatuan Eropah (EU), Australia, England dan Wales, New Zealand dan Afrika Selatan, selain beberapa negeri di Amerika Syarikat seperti California serta Texas.

Tiada definisi jelas perbuatan doxing

Berdasarkan kajian seluruh dunia juga menyatakan tiada satu definisi jelas terhadap perbuatan doxing dalam lipatan undang-undang hak asasi kemanusiaan yang mampu melindungi dan membendung isu doxing.

Begitu juga tiada satu pendekatan konsisten wujud dalam membolehkan mangsa doxing untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan dalam memadamkan kesemua maklumat peribadi mangsa di platform dalam talian.

Ini menakutkan kerana amalan doxing ini membolehkan penjenayah menyasarkan sesiapa sahaja dalam konteks buli siber dan taktik gangguan. Keadaan ini mendedahkan golongan wanita serta kumpulan rentan terutama mereka memiliki profil tinggi dalam masyarakat seperti wartawan, ahli politik dan aktivis.

Aktiviti doxing ini juga dapat dikelaskan kepada satu bentuk keganasan gender dan wanita terutama kepada golongan minoriti yang sering menjadi subjek kepada gangguan yang akan membawa kepada kesan negatif kepada mereka. Malah, doxing akan turut melemahkan penyertaan wanita dalam masyarakat khususnya.

Dalam mengekang isu doxing dan keganasan digital, ia harus dibahas dan didebatkan dalam kalangan pemegang taruh terutama mengenai langkah penggubalan undang-undang yang perlu diambil dalam membincangkan secara efektif terhadap isu doxing.

Perbahasan ini juga perlu dengan membangunkan cadangan dasar yang lebih menumpukan perbincangan bersifat pelbagai platform dan perundangan terhadap siber buli ini.

Kerajaan pula perlu menilai dan meneliti kembali undang-undang sedia ada dengan mengambil kira isu doxing sebagai jenayah berat dalam konteks gender dan buli siber.

Paling utama, dalam merangka dan menambah baik dasar berkait jenayah siber ini, perlu diwujudkan perbincangan bersifat rentas pemikiran termasuk membabitkan feminis dalam melihat hak rangka kemanusiaan antarabangsa dari sudut kepentingan dan perlindungan terhadap gender dan wanita dalam mewujudkan perlindungan undang-undang terhadap wanita dan golongan rentan dalam konteks keganasan berasaskan jantina.

Misalnya, contoh paling terdekat ialah Singapura, sekurang-kurangnya negara itu sudah menggubal Akta Perlindungan daripada Gangguan 2014 untuk melindungi maruah rakyatnya daripada tindakan mengendap (unlawful stalking).

Akta ini dilihat dapat membantu dalam soal isu mengendap, gangguan dan doxing terhadap mangsa dengan mahkamah memiliki kuasa terhadap pelaku dengan ‘Perintah Berhenti Menyebarkan’ yang dibuat secara salah.

Secara tidak langsung akta ini mampu melindungi mangsa buli siber dan diharapkan penggubalan dasar berhubung keganasan digital serta buli siber dapat diaplikasikan di negara ini juga dalam memastikan hak mangsa buli, terutama wanita terjamin.

Penulis adalah Ketua Penyelidik Sekretariat Pertubuhan Naratif Malaysia

Sumber: BH

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut