Kuala Lumpur: Perbelanjaan subsidi diesel telah melonjak sepuluh kali ganda dalam lima tahun lepas dan ini mengurangkan kemampuan negara untuk membiayai program pembangunan dan bantuan keperluan asas lain kepada rakyat
Pada 2019, subsidi diesel hanya RM1.4 bilion tetapi ia meningkat kepada lebih RM14.3 bilion pada tahun lalu, iaitu peningkatan lebih 920 peratus dalam lima tahun.
Ini merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian yang serius kerana jika berlarutan, ia akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk membela kepentingan rakyat melalui pembangunan dan menyediakan keperluan asas lain.
Harga diesel yang ditetapkan di Malaysia RM3.35 seliter adalah jauh lebih rendah, berbanding negara jiran seperti Thailand RM4 seliter; RM4.50 di Indonesia dan hampir mencecah RM9 seliter di Singapura.
Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersial yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi.
Ketirisan dalam subsidi sememangnya suatu kerugian dalam beberapa aspek.
Sebelum penyasaran subsidi diesel, terdapat penyalahgunaan diesel bersubsidi oleh sektor komersial termasuk sektor pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi.
Namun, menerusi aktiviti sindiket, terdapat syarikat tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan diesel bersubsidi secara tidak sah.
Penyelewengan subsidi
Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerugian secara langsung adalah subsidi yang diberikan secara pukal sudah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan segera dan berlipat ganda.
“Kerugian tidak langsung pula adalah kehilangan wang yang sepatutnya diberikan kepada segmen lebih penting seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, sekali gus menyebabkan sektor kritikal itu tidak dapat dibangunkan,” katanya kepada BH.
Menurutnya, apabila jurang harga diesel bersubsidi ini jauh lebih murah, berbanding dengan negara jiran dan subsidi ini pula diberi secara pukal, maka ia mewujudkan peluang untuk mendapat keuntungan besar melalui aktiviti penyeludupan dan salah guna.
Justeru, katanya kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini melalui penguatkuasaan undang-undang.
“Bagaimanapun, sekiranya usaha hanya bertumpu penguatkuasaan, dikhuatiri kerajaan hanya akan ‘merawat’ simptom atau gejala. Sebaiknya, usaha untuk membendung masalah ini adalah dengan mengenal pasti puncanya,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, rasionalisasi subsidi ini perlu diterangkan dengan jelas dan kerap serta dalam bahasa lebih mudah supaya rakyat faham akan tujuan perubahan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) di Kuala Lumpur, Dr Carmelo Ferlito, berkata kerajaan menuju ke arah yang betul dengan membenarkan kuasa pasaran mengambil alih mekanisme harga bahan api secara beransur-ansur.
Katanya, untuk mengelakkan penyalahgunaan, pengagihan bantuan perlu ringkas dan mudah untuk dikuatkuasakan dan dikawal. Ini berikutan, semakin banyak mekanisme harga diserahkan kepada pasaran, semakin kurang peluang untuk dimanipulasi.
“Isunya apabila ada program kerajaan yang mengganggu harga pasaran (subsidi atau harga siling) sudah pasti akan sentiasa ada ruang untuk dieksploitasi oleh pihak yang berniat jahat.
“Campur tangan kerajaan terhadap mekanisme harga dan pengedaran bantuan mewujudkan peluang untuk inisiatif penipuan,” katanya.
Ferlito berpendapat, matlamat utama adalah untuk mempunyai harga yang ditentukan pasaran sepenuhnya manakala bantuan jangka panjang sebenar untuk rakyat adalah untuk mempunyai alternatif kepada bahan api, seperti pengangkutan awam.
Beliau berkata, terdapat dua cara untuk kerajaan memanfaatkan atau menggunakan penjimatan daripada subsidi yang disalahgunakan secara berfaedah.
“Pertama, gunakan ia untuk mengurangkan defisit kerajaan. Mengurangkan perbelanjaan kerajaan ialah satu-satunya cara jangka panjang untuk mengawal inflasi.
“Kedua, melabur dalam pengangkutan awam (dengan bantuan sektor swasta) untuk mencipta alternatif sebenar kepada bahan api, jadi subsidi tidak lagi diperlukan,” katanya.
Katanya, proses (menggunakan harga pasaran untuk komoditi) sudah ditangguhkan terlalu lama dan Malaysia menjadi ‘ketagih’ dengan kawalan harga.
“Seperti mana-mana ketagihan, lebih lama ia berlarutan, lebih sukar untuk keluar daripadanya.
“Kini ia sudah menyakitkan, kerana ketagihan jangka panjang,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN