KUALA LUMPUR: Umat Islam disaran supaya sentiasa berhati-hati dalam memilih penganjur yang menawarkan perkhidmatan ibadah korban di luar negara terutama dalam kalangan syarikat komersial.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata penelitian daripada pelbagai aspek merangkumi akad jualan, kadar upah yang diambil dan bukti ternakan perlu diteliti bagi mengelakkan risiko kemungkinan urusan korban itu mempunyai unsur ‘gharar’ atau tidak jelas.
Gharar adalah jual beli barangan atau perkhidmatan yang mempunyai unsur ketidakpastian daripada aspek kuantiti dan kualiti barang serta keupayaan menyerahkannya kepada pembeli pada masa yang ditetapkan. Jual beli itu dilarang oleh syarak kerana boleh menimbulkan perbalahan dan risiko kerugian kepada salah satu pihak.
“Pengurusan korban biasanya dianjurkan oleh dua kumpulan, pertama badan amal yang bukan tujuannya mengambil untung, sama ada pihak masjid atau surau, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) Islam atau korban dilaksanakan syarikat komersial.
“Penganjur korban komersial biasanya menganjurkannya untuk tujuan keuntungan. Di sini, jika tidak berhati hati, ditakuti mereka (penganjur) memperoleh keuntungan dengan cara tipu daya.
“Malangnya, sesetengah syarikat komersial agak keberatan memberitahu kadar upah mereka yang sebenar. Jika mereka memberitahu kadar upah dikenakan ke atas pelanggan, urusanlebih telus dan memenuhi tuntutan kontrak,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas laporan BH mengenai kewujudan ‘scam’ ibadat korban luar negara yang masih berleluasa setiap kali sambutan Aidiladha.
Mengulas lanjut, Asmadi berkata, antara perkara yang perlu dititikberatkan umat Islam yang ingin melakukan ibadat korban di luar negara adalah dari segi akad jualan.
“Bagi urusan berakad jualan, kena pastikan mereka (penganjur) sudah memiliki binatang korban. Jika hanya sebagai wakil orang yang melakukan korban, mereka kena jelaskan kadar upah (yang juga keuntungan) yang mereka kenakan kepada muwakkil (pewakil) supaya ada konsep reda meredai.
“Jika mereka wakil penternak yang sudah menetapkan harga (haiwan ternakan), wakil tidak boleh menaikkan harga melebihi kadar yang diberikan oleh penternak tanpa kebenaran penternak.
“Ini mengelakkan mereka untung atas angin dalam akad yang penuh unsur ‘gharar’,” katanya.
Beliau juga berkata, jika seseorang individu itu ‘terjerat’ dalam ‘scam’ korban, maka ibadatnya itu jelas tidak berlaku.
“Jika jelas scam atau bentuk penipuan, jangan sertai program korban berkenaan.
“Selain itu, pastikan syarikat yang menganjurkan korban di luar negara itu dikenali dan boleh dipercayai, juga elakkan membuat korban kepada pihak ‘wakil atas wakil’ tanpa wakil hadir ke sana kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.
Sementara itu, bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata walaupun syarak mengharuskan ibadat korban di luar negara, umat Islam masih perlu berhati- hati dan memberi perhatian kepada aspek pemilihan penganjur serta pelaksanaannya.
Katanya, seseorang yang hendak melaksanakan ibadat korban mesti tahu di mana haiwan korban itu akan disembelih.
“Yang paling baik, tuan punya yang melakukan ibadah korban menyembelihkan sendiri haiwan berkenaan, tetapi adalah harus dan sah diwakilkan kepada orang lain.
Beliau turut berkata, pada masa sama, perlu diselidik NGO yang dilantik untuk melaksanakan ibadat korban di luar negara untuk mengelak penipuan.
“Pastikan NGO terbabit boleh dipercayai daripada sudut penunaian amanah serta mempunyai rekod yang baik.
“Pihak berkuasa juga perlu mengadakan garis panduan yang khusus berkaitan korban di luar negara, sebaiknya hanya NGO diberikan lesen atau tauliah sahaja dibenarkan mengendali urusan korban di mana-mana negara asing,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN