KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan berjumlah kira-kira RM40,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 50 tahun itu yang bertugas di sebuah sekolah di dalah sebuah daerah di negeri ini ditahan pada 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau.
Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan esok pagi.
Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan.
“Iaitu dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja berkenaan dilakukan oleh suspek sendiri.
“Pada tahun yang sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki kepentingan oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan kes akan dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Info X