PEMBUKAAN TAMAN PERINDUSTRIAN BAHARU DI KIMANIS TEPAT PADA MASANYA – DR YUSOF

KOTA KINABALU: Pembukaan taman perindustrian baharu di Kimanis seluas 10,000 ekar disifatkan sebagai langkah tepat sejajar keperluan semasa dan penyediaan kawasan yang sesuai kepada pelabur yang berminat menanam modal di negeri ini.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob yang berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai perlunya sebuah lagi taman perindustrian baharu di negeri ini.

“Bagi saya, Kimanis adalah kawasan yang strategik dan selepas ini tumpuan juga harus diberikan untuk membuat taman perindustrian baharu di daerah lain seperti di Kota Belud, Kudat atau di pantai timur seperti di Lahad Datu.

“Untuk menarik pelabur ke negeri ini, kita sebagai Kerajaan Negeri atau agensi-agensi mesti menyediakan tapak perindustrian yang teratur. Ertinya kawasan 10,000 ekar itu belum mencukupi kerana kita perlu lebih ramai pelabur datang ke Sabah.

“Namun demikian, kita mesti menyediakan infra khususnya rangkaian jalan raya yang sudah dibuat, bekalan air dan elektrik serta sistem perhubungan telekomunikasi, fiber optik atau internet dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Sabah Invest Berhad, George Wong, sebelum ini mengenai keputusan Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan pembukaan 10,000 ekar tapak perindustrian terbesar Sabah di Kimanis.

Dr Yusof berkata, taman perindustrian itu perlu dibahagikan mengikut kluster dan zon dengan keluasan tertentu supaya pelabur yang datang ke Sabah boleh ditawarkan kawasan untuk mereka melabur mengikut jenis pelaburan dan industri yang mereka bawa.

“Konsep lama di mana kita menjemput pelabur datang ke Sabah dan kita umum ada kawasan perindustrian yang baharu tetapi apabila membawa pelabur, kawasan masih hutan dan tiada infra…ini menyusahkan pelabur dan bukan satu cara menarik pelabur,” katanya.

Dr Yusof berkata, pendekatan negara lain seperti Vietnam harus dicontohi yang mana infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, lot dan pinjaman tertentu untuk pelabur disediakan mengikut jenis perindustrian yang mereka bawa seperti pelancongan, pembuatan atau industri minyak dan gas.

“Ini kita kena buat persediaan, jadi kita tidak boleh apabila menjemput pelabur dan pelaburlah yang akan berusaha menguruskan soal jalan raya, pembekalan elekrtrik, air dan sebagainya. Ini tidak menarik pelabur kerana mereka ada pilihan lain.

“Kita di Sabah khususnya QSB terlibat dalam menarik pelaburan ini tetapi kita tidak dapat menawarkan kepada mereka di mana atau bagaimana,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan diwujudkan jawatankuasa khas yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkaitan seperti QSB, SEDCO dan Sawit Kinabalu serta GLC lain yang berkaitan.

Katanya, jabatan atau agensi negeri berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Telekom dan syarikat telekomunikasi mesti terlibat dalam menyediakan infrastruktur.

“Jadi kita ada satu sistem yang menarik pelabur ini dan kita juga sediakan beberapa insentif seperti memberi tawaran mengikut jenis industri, pemberian tanah dengan harga yang berpatutan atau murah di peringkat awal sehingga mereka mendapat keuntungan.

“Perlu ada satu perubahan. Konsep lama masuk dulu pelabur baru kita menyediakan rangkaian jalan raya, sambung elektrik, sambung air perlu kita ubah,” katanya.

Dr Yusof berkata, Sabah mempunyai sumber asli yang kaya lebih-lebih lagi sekarang ini Kerajaan Negeri sudah membuka hasil bumi yang baharu untuk diterokai.

“Kalau boleh kita membuat industri hiliran dan hasil bumi Sabah dibuat di negeri ini sendiri supaya dapat menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan negeri,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

 

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut