PASARAYA DIDENDA KERANA JUAL ALAT VOLTAN RENDAH TANPA COA

KOTA KINABALU (12 Jun): Sebuah pasar raya besar didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa atas sembilan pertuduhan menjual 745 unit peralatan voltan rendah yang tidak diluluskan terus kepada orang awam, lima tahun lalu.

Servay Hypermarket (Sabah) Sdn Bhd, yang diwakili wakilnya, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas pertuduhan menjual peralatan voltan rendah pelbagai model dan jenama secara terus kepada orang ramai tanpa kelulusan Suruhanjaya Tenaga di Blok K, Lot 1, Lorong Grand Plaza 3, Grand Plaza Putatan, jam 10.15 pagi pada 31 Okt, 2019.

Stephanie memerintahkan syarikat itu membayar denda RM1,000, atau waran levi akan dikeluarkan terhadap syarikat itu jika gagal membayar denda itu bagi setiap sembilan pertuduhan.

Syarikat itu didapati menjual enam unit periuk nasi; 71 unit alat suai dan pengecas; 101 unit kabel; 139 unit penutup palam dan palam; enam unit suis merangkap dimmer; 63 unit soket alur keluar mudah alih; 352 unit pemegang lampu; dua unit cerek elektrik dan lima unit pembakar roti atau ketuhar.

Setiap pertuduhan yang termaktub di bawah Peraturan 97(1)(b) Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan menyatakan bahawa serbuan oleh pegawai Suruhanjaya Tenaga (ST), Sirim, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah dijalankan di Pasaraya Servay Putatan pada hari tersebut untuk mengenal pasti peralatan elektrik yang gagal mendapatkan sijil kelulusan daripada ST dan/atau, tidak mempunyai label Sirim-ST, atau kedua-duanya.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai model dan jenama peralatan elektrik di rak jualan yang disertakan tanda harga menunjukkan peralatan itu dijual kepada orang ramai.

Semakan melalui sistem E-Equipment Suruhanjaya Tenaga mendapati peralatan elektrik yang dirampas dalam serbuan itu tidak mempunyai Sijil Kelulusan (CoA) daripada ST, kata pihak pendakwaan.

 

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Harian Ekspres Sabah

 

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut