SUHAKAM PANTAU KES PEROBOHAN PENEMPATAN MASYARAKAT PALAUH DI SEMPORNA

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memantau rapat tindakan diambil pihak berkuasa berkaitan komuniti Bajau Laut di Semporna.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, suruhanjaya itu menyatakan bahawa pihaknya mengambil berat perkara berkenaan.

“Beberapa rumah dirobohkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sabah untuk meningkatkan keselamatan dan melindungi alam sekitar di kawasab Taman Marin Tun Sakaran.

“Walaupun notis awal diberikan kepada komuniti yang terjejas, SUHAKAM mengakui keperluan untuk menilai kesan kemanusiaan yang lebih luas daripada tindakan ini.

“Bajau Laut adalah komuniti yang unik dan terpinggir dari segi sejarah berdepan cabaran yang signifikan, termasuk akses yang terhad untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

“Tatkala mengiktiraf hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan, SUHAKAM menekankan kepentingan pendekatan seimbang untuk menangani

keperluan segera mereka yang terjejas akibat tindakan perobohan itu,” kata kenyataan berkenaan.

Sebahagian masyarakat Palauh atau Bajau Laut meluah nasib selepas kediaman mereka dirobohkan.

SUHAKAM turut menawarkan bantuan segera kepada komuniti Bajau Laut yang dipindahkan ketika operasi perobohan penempatan masyarakat berkenaan.

Bantuan itu termasuk memastikan mereka ada akses rumah sementara, penjagaan perubatan dan sumber pendidikan bagi meminimakan gangguan terhadap kehidupan mereka.

“Kita menggalakkan dialog dan kolaborasi di antara kerajaan negeri, komuniti Bajau Laut dan pertubuhan kemanusiaan untuk membangun strategi mapan dan inklusif yang dapat menangani isu lebih luas tatkala menghormati hak dan maruah semua individu yang terlibat.

“SUHAKAM kekal komited untuk memantau situasi secara rapat dan mencari penyelesaian ke arah menegakkan hak asasi manusia,” kata kenyataan itu.

Sebahagian bekas kediaman masyarakat Palauh atau Bajau Laut yang dirobohkan pihak berkuasa di kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew mendedahkan sebanyak 138 rumah daripada 273 yang diberikan notis dirobohkan di penempatan tanpa izin di Pulau Bohey Dulang dan Bodgaya, Semporna pada 4 hingga 6 Jun lalu.

Katanya, operasi perobohan itu membabitkan rumah penempatan tanpa izin yang dibina di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) dan dilaksanakan selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran Notis Pengosongan Kawasan TMTS pada 26 April lalu.

Katanya, operasi itu membabitkan pihak polis, Polis Marin, Pejabat Daerah Semporna, ESSCOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Semporna.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut