Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menangani isu pencemaran terhadap Sungai Linggi. Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil-wakil rakyat di kawasan sepanjang jajaran Sungai Linggi bersama jabatan dan agensi berkaitan. Menurutnya, menerusi jawatankuasa tersebut satu tindakan bersama dapat diambil bagi mengelakkan pencemaran sungai tersebut berulang pada masa hadapan. Beliau telah berjumpa dengan beberapa ketua-ketua jabatan dan dimaklumkan tindakan-tindakan susulan sedang diambil oleh mereka untuk memastikan perkara itu (pencemaran) tidak berulang di sepanjang jajaran sungai itu. Hasil maklum balas, pihaknya bersetuju supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik-pemilik kilang haram.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa mencadangkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menangani isu berkenaan yang kerap berulang berlaku sehingga menjejaskan bekalan air khususnya penduduk di Port Dickson. Media sebelum ini juga melaporkan beberapa operasi dan serbuan dilakukan oleh beberapa agensi dan jabatan di negeri ini terhadap kilang-kilang haram yang didapati menjalankan aktiviti mencemarkan alam sekitar termasuk memberi risiko kepada pencemaran Sungai Linggi.
Sumber: Sinar Harian