PENUBUHAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM PERLU MENGIKUT PROSEDUR – TENGKU MAHKOTA PAHANG

KUANTAN: Kerancakan memartabatkan Islam melalui penubuhan apa juga institusi pendidikan Islam perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama, demikian titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah setiap institusi harus bergerak di atas landasan ilmu yang benar agar memudahkan pihak berwajib untuk memberikan bantuan dan menyalurkan apa juga kemudahan.

“Kini pelbagai usaha dijalankan oleh banyak pihak bagi memartabatkan Islam dan menzahirkan kecintaan mereka terhadap agama Islam ini. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang juga tidak ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan.

“Dalam mendukung usaha memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan melalui al-Quran, betapa subur dan mekarnya penubuhan institusi pendidikan Islam berteraskan al-Quran di bumi Pahang yang tercinta ini,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal turut bertitah manfaat pembacaan al-Quran tidak dapat disangkal sama sekali malah kebaikannya merangkumi umat manusia sejagat.

Baginda bertitah setiap inti pati al-Quran perlu dihayati dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang baik.

“Al-Quran bukan sekadar untuk dipertandingkan bacaannya atau untuk majlis tilawah semata-mata. Sebaliknya, sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk sama-sama menghayati isi kandungan dan pengajarannya.

“Menghayati al-Quran sebagai panduan lengkap kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan keluarga, hubungan masyarakat, penjagaan alam sekitar, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta dan perubatan,” titah baginda.

Tengku Hassanal juga menyeru setiap umat Islam menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama setiap isi rumah.

“Setiap isi rumah bukan sahaja perlu ada kitab suci al-Quran tetapi juga naskhah tafsir al-Quran,” titah baginda.

Majlis tilawah dan hafazan kali ini menyaksikan qari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi manakala Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu diumum sebagai johan menunggu bagi kategori qariah.

MTHQK tahun ini menyaksikan Pahang menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas edisi pertama pada 2011 dan kedua pada 2014.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut