KUALA LUMPUR: Siri komik terjemahan yang mengangkat kisah penjejakan dan pembanterasan salah laku rasuah, Koleksi Wira Anti Rasuah, dilancarkan hari ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, di sini.
Tiga siri komik dalam bentuk multiformat membabitkan komik dan video animasi itu diterjemahkan daripada buku asal bertajuk ‘Bribe Busters: A Trace Comic Book’ terbitan TRACE International, Amerika Syarikat.
Istimewanya, siri komik itu adalah kolaborasi pertama penerbitan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang menyasarkan pembaca kanak-kanak terutama murid sekolah rendah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata penerbitan buku itu adalah antara usaha murni SPRM dan ITBM untuk meningkatkan kesedaran, sekali gus menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah rendah.
Beliau memaklumkan ia selari dengan satu daripada tujuh teras utama pendidikan negara, iaitu penekanan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah untuk memastikan kita dapat menghindarkan anak-anak daripada gejala negatif.
“Penerapan konsep karamah insaniah ini ditekankan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Malah dengan pelancaran komik berkonsep integriti antirasuah yang kali pertama dihasilkan ini, ia boleh dijadikan bahan sokongan di luar bilik darjah.
“Saya yakin komik ini dapat menarik minat murid sekolah kerana medium ini lebih mudah difahami. KPM sendiri ada testimoni jelas melalui beberapa program sebelum ini yang menunjukkan pendekatan komik sesuai untuk menyampaikan mesej kepada kanak-kanak.
“Malah, saya yakin komik ini dapat dimanfaatkan bukan saja oleh murid tetapi juga guru dalam proses PdP, selain berguna kepada ibu bapa dan komuniti dalam usaha kita memperkukuh soal integriti dengan mengambil kira anak-anak hari ini adalah bakal pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Projek Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM-ITBM di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah; dan Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron.
Koleksi Wira Anti Rasuah dikeluarkan dalam tiga siri, iaitu Komik Si Penjejak 1, Komik Si Penjejak 2 dan Komik Si Penjejak 3.
Ia mengisahkan sekumpulan wira cilik bernama Dino, Lin, Aida dan Shamir menegakkan keadilan di seluruh dunia dengan bantuan ‘Si Penjejak’, iaitu sebuah superkomputer pengembaraan masa rentas jarak.
SUMBER: BERITA HARIAN