KUALA LUMPUR: Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian dialami warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 lalu mencecah RM552.5 juta.
Jumlah itu membabitkan 5,533 mangsa atau 6.4 peratus daripada keseluruhan 86,266 individu yang direkod menjadi mangsa penipuan dalam talian dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan jumlah kerugian RM2.7 bilion.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas berusia 61 tahun ke atas adalah rendah, namun nilai kerugian dialami mereka amat tinggi.
Katanya, trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga 19 Mei lalu, seramai 990 mangsa atau 8.3 peratus adalah warga emas.
“Daripada tempoh 2021 hingga 2023, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan bagi kes penipuan dalam talian adalah sebanyak RM2.7 bilion, dan daripada jumlah ini, kerugian yang dicatatkan membabitkan mangsa warga emas adalah RM552.5 juta atau 20 peratus.
“Begitu juga bagi tahun ini sehingga 19 Mei lalu, kerugian dicatatkan membabitkan mangsa warga emas sudah mencecah RM130.4 jutaatau 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM471.5 juta.
“Lebih membimbangkan, bagi tempoh ini, kelompok warga emas mencatatkan jumlah kerugian tertinggi berbanding lain-lain kategori umur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata, daripada 5,533 mangsa warga emas yang direkodkan sepanjang tempoh tiga tahun (2021-2023), 47.6 peratus atau 2,631 individu adalah mangsa kepada penipuan jenayah telekomunikasiseperti ‘phone scam’, penyamaran dalam talian, penipuan SMS dan tawaran hadiah secara dalam talian.
“Trend yang sama dicatatkan bagi tahun ini sehingga 19 Mei, di mana daripada 990 mangsa warga emas yang direkodkan, 39.4 peratus atau 390 daripadanya adalah membabitkan jenayah telekomunikasi.
“Apa yang membimbangkan, nilai kerugian yang dicatatkan oleh mangsa warga emas ini adalah yang tertinggi berbanding kelompok umur yang lain,” katanya.
Beliau berkata, rekod PDRM dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023 menunjukkan jumlah kerugian membabitkan jenayah telekomunikasi dialami mangsa warga emas sebanyak RM253.9 juta daripada jumlah keseluruhan RM873.9 juta.
Bagi tempoh tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula, Ramli berkata jumlah kerugian oleh mangsa warga emas akibat taktik penipuan sama, mencecah RM36.1 juta daripada jumlah keseluruhan RM 146.1juta.
“Berbanding kesemua kategori jenayah dalam talian, jenayah telekomunikasi boleh berlaku terhadap mangsa yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan internet. Cukup hanya menggunakan telefon, sindiket penipuan boleh menghubungi dan menipu mangsa.
“Ia berbeza dengan lima kategori jenayah dalam talian yang lain yang memerlukan mangsa mempunyai kemahiran untuk melayari internet, menggunakan media sosial dan seumpamanya.
“Maka, atas sebab itulah ramai warga emas menjadi mangsa kepada jenayah telekomunikasi berbanding jenayah dalam talian yang lain,” katanya.
Tambah beliau, jenayah telekomunikasi adalah kategori jenayah boleh dicegah dan dielakkan seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan berwaspada dengan kemungkinan berlakunya jenayah tersebut.
“Maka, kita menyeru supaya maklumat jenayah komersil khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat disampaikan kepada warga emas khususnya ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga dan sebagainya.
“Setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan selaku penyebar mesej kesedaran jenayah komersil agar kita dapat membentuk satu komuniti yang selamat dan terhindar dari menjadi mangsa ‘scammer’,” katanya.
Katanya, jumlah kerugian wang yang tinggi dalam kalangan warga emas dipengaruhi faktor jumlah simpanan wang dimiliki mereka dan mudah percaya kepada sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
SUMBER: BERITA HARIAN