Pegawai Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah menjalankan pemeriksaan di unit kediaman yang dihuni oleh tiga (3) orang lelaki warga Pakistan. Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati mereka telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa serta gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Mereka antara 14 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Selera Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Terengganu di sekitar Daerah Besut dan Kuala Nerus pada 21 Mei 2024.
Hasil daripada operasi ini sebanyak 10 premis dan 56 individu telah diperiksa, dari jumlah tersebut seramai 14 orang PATI ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan 6 orang warga Thailand, Indonesia (1), Myanmar (4) serta Pakistan (3).
Sementara itu, seorang majikan turut dipanggil untuk diambil keterangan kerana kesalahan melindungi PATI dan akan didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu