GUNA APLIKASI VSP BANTU CEGAH JENAYAH – PDRM

TAWAU (26 Mei): Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memperluaskan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai kemudahan untuk membantu mencegah jenayah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata ketika ini aplikasi itu masih kurang dikenali meskipun sudah lama diperkenalkan.

Katanya, aplikasi itu penting sebagai kemudahan masyarakat untuk membantu mencegah jenayah yang berlaku di sekitar mereka.

“Aplikasi VSP versi 2.0 sudah ditambah baik kerana masyarakat boleh menyalurkan aduan dan maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video serta koordinat GPS lokasi kejadian.

“Selain itu, kita turut wujudkan butang panik untuk anggota polis yang bertugas di lapangan mengambil tindakan segera apabila menerima maklumat jenayah melalui aplikasi ini,” katanya selepas melancarkan Confrencing Point Pondok Polis Fajar, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan, Rina Jainal.

Wan Hassan berkata, PDRM akan bertindak secepat mungkin dengan anggaran masa paling lewat 12 minit selepas menerima laporan atau aduan melalui aplikasi VSP itu. Jelasnya, PDRM mempunyai kekuatan anggota di lapangan termasuk Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk bertindak segera.

“Kita mempunyai lebih 3,000 MPV dan 1,800 URB yang bergerak setiap masa untuk membantu menangani masalah jenayah di seluruh negara. Justeru, menerusi platform VSP, kita harapkan masyarakat dapat bersama-sama dengan PDRM membanteras jenayah di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada jabatan lain, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program bersama dari semasa ke semasa.

“Kita sedar PDRM agak kekurangan dana untuk melaksanakan program-program berskala besar dan sangat memerlukan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak. Namun, PDRM terus komited dan berterusan menyantuni masyarakat supaya pencegahan jenayah di negara ini lebih mudah dilaksanakan,” katanya.

#MalaysiaMadani

#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama

#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut