Menyebut mengenai madu, pasti ramai yang akan melenting jika tersalah tafsir terutamanya golongan para isteri kerana terfikir bahawa madu yang diutarakan ini adalah isteri kedua atau seterusnya. Namun artikel ini adalah berkaitan pembangunan ekonomi penduduk setempat dalam perusahaan madu lebah/kelulut.
Terengganu Honey House adalah Rumah Madu yang pertama di Terengganu. Matlamat Kerajaan Negeri membinanya adalah untuk menjadikan Rumah Madu Terengganu sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) yang menyediakan pelbagai jenis madu asli keluaran Terengganu samada madu lebah atau madu kelulut yang dikutip dari lebah liar atau yang diternak.
Istimewanya, semua madu yang dijual di sini telah mendapat pengesahan ketulinan madu yang diuji secara saintifik. Ia bermaksud madu dari Rumah Madu Terengganu adalah dijamin tulin dan bukanlah madu campuran air gula yang ada di pasaran luar.
Lokasinya Rumah Madu ini adalah di Wakaf Tembesu Kuala Nerus. Kerajaan memulakan operasi jualan dengan Rumah Madu bersaiz sederhana. Terengganu Honey House yang dioperasikan oleh Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) akan dikembangkan secara berperingkat selaras dengan potensi dan kemajuannya.


Dengan kewujudan hub madu ini, ia dapat membuka peluang pengusaha madu kelulut tempatan untuk memasarkan produk mereka dan sekaligus memberikan peluang penjanaan pendapatan yang lumayan dalam mengukuhkan lagi ekonomi setempat.
“AMBILLAH MADU TANPA BERLEBIHAN DEMI KESIHATAN DIRI ANDA”
sumber: TRDI