PENCURI KABEL MILIKI PELBAGAI KES JENAYAH LAMPAU DIBERKAS D4 IPK SABAH

KOTA KINABALU (19 Mei): Dua lelaki memiliki pelbagai rekod jenayah lampau ditahan selepas disyaki terbabit dalam dua kes mencuri kabel elektrik di Manggatal, dekat sini, baru-baru ini.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 38 tahun itu masing-masing ditahan di Kampung Raganan, Tuaran dan bersebelahan Kim Kiong Transport, Manggatal, hari ini.

Tangkapan kedua-dua suspek itu dibuat hasil ketangkasan Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dalam memerangi jenayah curi kabel di negeri ini.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis Azmi Abd Rahim berkata, dalam kes pertama pada 13 Mei lalu, polis menerima laporan daripada seorang penyelia apartment berhubung dua suspek terbabit yang disyaki mencuri kabel pembumian elektrik di Apartment Bandar Sierra, Manggatal.

Katanya, perbuatan jenayah itu turut dirakam saksi kejadian yang kemudian memuat naik video di laman sosial sebelum tular.

“Selepas itu, siasatan dijalankan oleh D4 JSJ IPK Sabah dan pada 6.15 pagi tadi, pihaknya sekali lagi menerima laporan daripada kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengatakan kabel miliknya jenis HBV BC anggaran panjang 80 meter dipotong disyaki dicuri.

“Akibat kejadian itu SESB mengalami kerugian kira-kira RM4,800,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan D4 JSJ IPK kemudian menjalankan siasatan dan mengesan salah seorang suspek di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Raganan, Tuaran.

“Suspek itu ditahan jam 12.40 tengah hari tadi dan disyaki terbabit dalam dua kejadian curi kabel. Siasatan terus dilakukan dan seorang lagi suspek berjaya diberkas di Manggatal kira-kira jam 5.45 petang hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek ini, polis merampas 19 kabel milik SESB yang telah dipotong anggaran panjang dua hingga empat meter setiap satu.

“Siasatan lanjut suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu curi kenderaan, pecah rumah dan pencerobohan bangunan manakala suspek kedua memiliki lapan jenayah lampau curi dan berkait dadah.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

 

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut