Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel mendakwa serangan ini dilakukan bagi memusnahkan rangkaian terowong Hamas di Gaza, melemahkan aktiviti mereka dan membebaskan semua tahanan Israel di Gaza. Serangan yang masih berlarutan hingga ke hari ini telah mengorbankan lebih 35,000 mangsa dan angka itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang.
Krisis kemanusiaan di Palestin yang semakin memburuk, membangkitkan pelbagai terjemahan masyarakat dunia yang membantah tindakan kejam rejim Zionis termasuk dengan tidak lagi menyokong produk pro-Israel dan mula beralih kepada produk tempatan. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali menunjukkan solidariti kepada masyarakat di Palestin apabila pelbagai senarai perkongsian produk-produk pro-Israel โmembanjiri’ platform di media sosial sama ada produk makanan, barangan keperluan sehinggalah produk yang besar seperti perabot.
Terkini, rakyat Malaysia juga turut bersama dalam gerakan ‘Blockout 2024′. Gerakan tersebut bermula di pertunjukan fesyen Met Gala 2024 di New York pada 6 Mei lalu sebagai bantahan terhadap selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin. Gerakan ini menyasarkan golongan selebriti-selebriti atau pempengaruh yang berdiam diri berkaitan kekejaman di Palestin atau pun bekerjasama mempromosikan produk-produk yang didakwa memberi sumbangan terhadap Zionis.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang didapati bersikap agak melampau dalam usaha mereka memberikan kesedaran kepada dunia berhubung tindakan kejam Kerajaan Israel terhadap penduduk Palestin. Bukan setakat menghamburkan kata-kata cacian dan makian, malahan terdapat pihak yang menggambarkan pelanggan menikmati makanan di sebuah restoran makanan segera diumpamakan seperti anjing dan babi.
Malahan terdapat juga pihak yang menghamburkan kata-kata berbentuk ugutan sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang lain.
Ini sama sekali berbeza dengan adab dan akhlak yang diajarkan oleh agama Islam. Agama Islam tidak suka umatnya bersikap ekstrim dan taasub meskipun atas nama agama kerana sikap demikian lazimnya didorong oleh kejahilan serta fikiran tertutup golongan yang tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang berbeza pandangan dan kepercayaan dengannya. Umat Islam memerlukan kewarasan dan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian supaya tidak menambahkan lagi ketegangan yang boleh membawa kepada pergaduhan hingga merugikan semua pihak.
Berboikotlah dengan akhlak dan ilmu.
Kembalilah kepada adab Islam.
Pupukkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam masyarakat majmuk.