SANDAKAN (16 Mei): Program Prihatin Keluarga Sandakan (PPKS) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan sejak Mac 2022 dilihat dapat membantu pengguna di luar bandar menikmati manfaat subsidi Kerajaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu juga adalah bagi bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung di kawasan luar bandar tidak terputus. Katanya, ia juga turut memudahkan proses penghantaran barang kawalan ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.
“PPKS ini adalah inisiatif dan langkah proaktif KPDN Cawangan Sandakan yang bermula sejak Mac 2022 bertujuan untuk memastikan pengguna khasnya di luar bandar menikmati manfaat subsidi oleh Kerajaan dan bagi memastikan bekalan barang kawalan di kawasan luar bandar tidak terputus.
“Kini konsep PPKS ini juga telah diperluaskan di mana bekalan barang kawalan telah dihantar ke Peruncit Terpilih Daerah (DDR)di Sandakan dan beberapa daerah lain seperti di Kudat, Keningau dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sebagai makluman, sejak 1 Januari sehingga 14 Mei lalu sebanyak 643.756 metrik tan atau 37,868 kotak minyak masak telah diedarkan melalui PPKS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Sabah Media