KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun kekangan kewangan menjadi faktor utama, tetapi usaha itu boleh dilaksanakan secara berfasa.

Justeru, katanya, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi pembelian tablet berkenaan untuk kemudahan kepada pelajar.

“Tahun ini, sejumlah RM58.7 bilion diperuntukkan kepada KPM, namun saya yakin untuk bajet tahun depan akan bertambah kerana pembelian tablet bagi melaksanakan kaedah pembelajaran sistem digital ini.

“Sistem sudah ada, kaedah pengajaran ada dan apa yang diperlukan ialah tablet. Jika dapat dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini, saya fikir dalam tempoh empat atau lima tahun, majoriti pelajar akan dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, ‘Guru Jauhari Digital’ boleh diistilahkan sebagai guru yang memiliki kemampuan dan pengetahuan untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam kurikulum sehingga dapat meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kreatif dan inovatif.

“Kelebihannya, teknologi kini dapat membantu guru melaksanakan PdP dengan lebih efisyen dan mampu mendorong minat serta keupayaan murid untuk mempelajari dan menguasai bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang amat penting pada masa kini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Negara juga mahu guru turut sama memperkasakan TVET yang kini bukan lagi pendidikan kelas kedua, bahkan menawarkan peluang yang jauh lebih luas untuk diteroka.

“Jika permohonan kemasukan ke institusi awam boleh dibuat melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU), kerajaan turut proaktif memperkenalkan sistem permohonan ke 1,345 institusi TVET melalui UP_TVET.

“Kerajaan komited mengangkat tahap guru-guru pendidikan TVET ini supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan guru yang lain.

“TVET ini sebagai `game changer’ yang dapat mengisi jurang yang wujud di pasaran pekerjaan dan kini kita berjaya membangunkan data graduan berkemahiran TVET bagi memenuhi permintaan terhadap pekerja berkemahiran.

“KPM perlu berupaya mengatur strategi untuk memastikan keupayaan teknologi digital menjadi sebahagian daripada tradisi budaya menimba ilmu dalam kalangan generasi Madani,” katanya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut