PUTRAJAYA: Ciri fizikal termasuk keselamatan pada dokumen pengenalan diri atau MyKad sedia ada sudah memadai, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, langkah penting yang perlu ditangani ketika ini adalah dari segi penguatkuasaan dan hebahan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.
“Kita faham hal itu, kita bukan sahaja tangani secara pentadbiran, kita ada bahagian penguat kuasa di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), kita ada keupayaan mengesannya (MyKad palsu), kita juga ada program hebahan kepada masyarakat elak memilikiΒ dokumen diri yang tidak sah.
“Jadi perkara kita nak sebut, apakah kita bercadang untuk mengubah (MyKad)? (Sebab) kalau dari segi fizikal itu memadai tetapi langkah yang kita nak ambil ialah, pertama hebah kepada masyarakat jangan sesekali terjebak dalam keadaan begitu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau mengulas kes MyKad palsu digunakan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini serta adakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan dokumen berkenaan.
Sebelum ini beberapa kes dilaporkan membabitkan warga asing menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di negara ini.
Terbaru, taktik licik pasangan warga Filipina menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sejak lebih 10 tahun lalu terbongkar selepas mereka dicekup dalam operasi di Kota Damansara, Isnin lalu.
Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, suami isteri itu dipercayai masuk ke negara ini melalui Johor Bahru pada 2006.
Selain itu, Saifuddin mendedahkan, JPN pernah menerima kes membabitkan pasangan ibu bapa mendaftarkan kelahiran bayi yang bukan anak mereka, sebagai anak kandung.
“Antara punca terbesar ialah apabila pasangan yang mengambil anak angkat atau temui bayi, dia kemudian isytihar anak itu sebagai anak kandung dia, masa kecil …ya tak boleh beza tetapi apabila usia 12 tahun dan wajib miliki MyKad, kita boleh kesan, fizikalnya pun kita boleh kenal.
“Biasanya apabila kita temui kes sebegini, kita tidak terus menghukum mereka, sebaliknya kita nasihatkan mereka daftar balik, buat perkara yang betul mengikut lunas undang-undang,” katanya.