SINDIKET PEMALSUAN PASPORT ASING ‘OFU BHAI’ TUMPAS

PUTRAJAYA: Sindiket pemalsuan pasport dikesan menggunakan taktik baharu dengan mengubah suai helaian maklumat identiti terutama tarikh luput pada dokumen perjalanan terbabit.

Taktik itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menumpaskan sindiket ‘Ofu Bhai’ didalangi lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun dalam serbuan di sebuah kediaman di Kajang, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata seorang wanita warga Filipina berusia 40 tahun turut ditahan dalam serbuan hasil aduan dan maklumat risikan itu.

“Sindiket ini menyasarkan warga Bangladesh yang tinggal lebih masa di negara ini dengan mengubah helaian maklumat identiti pada pasport mereka.

“Suspek akan mencetak helaian terbabit dengan meletakkan tarikh luput baharu dan kemudian menampalnya semula pada dokumen berkenaan untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ruslin berkata, sindiket terbabit mengenakan bayaran antara RM1,000 ke RM1,500 bagi setiap urusan dengan transaksi dibuat secara dalam talian.

Katanya, sindiket itu juga menggunakan maklumat palsu yang ada pada pasport terbabit untuk mendapatkan kelulusan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) pada harga RM600 ke RM1,000 bagi setiap dokumen.

“Dalam serbuan itu, Imigresen merampas satu set komputer, 211 pasport beberapa negara seperti Bangladesh (199), India (4), tiga pasport masing-masing Filipina dan Myanmar serta Indonesia (2).

“Kita turut merampas 31 helaian tertera biodata (pemilik) pasport, 144 dokumen FOMEMA, pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapat suspek lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah manakala suspek wanita pula didapati tinggal lebih masa di negara ini.

“Kita masih menjalankan siasatan kerana sindiket ini sudah beroperasi selama dua tahun terutama bagi mengenal pasti rangkaian mereka,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut