RAUB: Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mempelawa belia menyertai latihan bidang perhutanan selama setahun bagi Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan dan dua tahun bagi Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan.
Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Rahim Rani, berkata tawaran latihan dibuka setiap tahun dan menerima sambutan menggalakkan.
“Kita membuka peluang kepada golongan belia berminat dan layak mengikuti latihan disediakan.
“Mereka perlu menjalani sesi ujian fizikal dan temu duga sebelum yang lulus diterima masuk.
“Lepasan Institut Latihan Perhutanan berpeluang memohon jawatan sebagai Pengawas Hutan dan Penolong Pemelihara Hutan serta Renjer Hutan dengan semua jabatan perhutanan negeri di Semenanjung selain agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Ikhtiar Hidup di Lata Lembik dekat sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani; Pengarah Bahagian Latihan Perhutanan, Ramli Mat; Pengetua FORTRAIN, Radhuan Ramli dan Pegawai Hutan Daerah Raub, Safiah Aimi Md Isa.
Seramai 114 pelatih FORTRAIN terbabit dalam program seminggu itu.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti ikhtiar hidup di hutan, memasak dalam buluh, menyediakan rakit buluh dan menyusuri sungai menggunakan rakit.
SUMBER: BERITA HARIAN