PAMERAN DSA, NASTEC: TEKNOLOGI REALITI MAYA MARITIM MALAYSIA DAPAT PERHATIAN TURKIYE, BELANDA

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi realiti maya (VR) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2024 di sini, berjaya menarik perhatian agensi penguat kuasa luar negara seperti Turkiye dan Belanda.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata agensi terbabit kagum dan berhasrat untuk menggunakan teknologi seumpama itu bagi latihan maya dan perkongsian maklumat berkaitan peranan serta tanggungjawab agensi kepada umum.

“Pameran DSA dan NATSEC 2024 turut membuka ruang kepada Maritim Malaysia dalam meningkatkan kerjasama antara agensi penguat kuasa luar negara melalui pertemuan bilateral yang diadakan sepanjang acara ini berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 7,000 pengunjung melawat reruai agensi itu pada pameran yang berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula Isnin lalu.

“Program yang berakhir hari ini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pemain industri keselamatan tempatan serta syarikat terkemuka luar negara seperti United Kingdom, China dan Perancis,” katanya.

Saiful Lizan berkata, selain pemain industri keselamatan dan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara, reruai Maritim Malaysia turut menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pameran DSA dan NATSEC yang berakhir hari ini, mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 dan kali ini bertemakanย Building Resilient Nations For The Next Generationย telah menarik penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara, dengan 34 negara mempunyai pavilion sendiri termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga sudah mengumumkan edisi ke-19 pameran itu dijadualkan berlangsung mulai 20 hingga 23 April 2026.

SUMBER:ย  BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SIMULASI KEBAKARAN PERUMAHAN ATAS AIR DAN PENTAULIAHAN BOMBA KOMUNITI TANJUNG BATU SECARA KOLABORASI DI ANTARA MAJLIS KESELAMATAN NEGARA NEGERI SABAH BERSAMA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI SABAH

TAWAU (16 Mei 2024): Selaras dengan objektif meningkatkan kesedaran dalam menjaga keselamatan komuniti, MKN Sabah bersama JBPM Sabah dengan sokongan …
Maklumat Lanjut