RUMAH KAYU TANPA PAKU BERUSIA 88 TAHUN JADI TARIKAN DI TEMERLOH

WALAUPUN nampak usang, rumah kayu yang tersergam dan kelihatan masih kukuh

di Kampung Chengal, Batu Satu, Jalan Temerloh-Mentakab, Pahang ini, acap kali membuatkan sesiapa melewati kawasan itu akan menoleh dek keunikan reka bentuknya.

Rumah kayu berusia 88 tahun itu sarat dengan ciri tradisional masyarakat Melayu Kampar yang berasal dari Riau, Sumatera.

Rumah ini dikenali sebagai ‘Rumah Warisan Tok Taib dan Nayan’ kini, didiami generasi ketiga dan keempat keluarga terbabit,

Cucu Tok Taib, Anisah Ramli, 62, berkata rumah itu dibina oleh arwah datuknya, Taib Abdullah, pada 1936 sebelum meninggal dunia enam tahun kemudian dan diwarisi oleh ayahnya, Ramli Taib.

Arwah datuknya berasal dari Kampung Sepunggok, Salor, Bangkinang, Sumatera juga antara pengasas kampung itu.

“Seperti pernah diceritakan arwah datuk, beliau sendiri menebang kayu-kayu di hutan Kampung Tuala untuk membuat tiang kayu rumah ini.

“Arwah menggunakan kerbau membawa kayu ke tapak pembinaan dan proses pemotongan serta pembentukan kayu dilakukan secara manual,” katanya.

Rumah ini menggunakan kayu cengal, merbau dan dibina secara pasak tanpa menggunakan paku.

Beliau juga anak ke empat daripada sembilan beradik berkata, sebanyak 12 tiang didirikan dan kekerasan kayu tiang itu dapat dilihat apabila diketuk menggunakan paku akan mengeluarkan percikan api.

Kata Anisah rumah terletak di atas bukit itu, kini didiami adik kelapan, Idham Khalid, 47, bersama isterinya, Rusnita Abdullah, 42, serta tiga anak mereka.

Rumah sentiasa sejuk walaupun cuaca panas

Katanya, rumah itu juga terselamat ketika banjir besar melanda Pahang pada 1971 serta beberapa siri banjir sebelum ini.

“Paras air hanya pada di bawah lantai ketika itu dan sering kali rumah ini juga menempatkan mangsa banjir sekitar kampung ini.

“Keunikan rumah ini juga ia sentiasa sejuk walaupun ketika cuaca panas dan kalau dulu memang tidak perlu gunakan kipas atau penyaman udara,” katanya.

Anisah dan keluarganya mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak bagi tujuan pemuliharaan rumah itu yang disifatkan kini, menjadi tarikan di Temerloh.

Idham pula berkata, beberapa pengubahsuaian rumah itu dilakukan beberapa kali dan terakhir pada 1996.

Katanya, beberapa pelajar jurusan seni bina dari beberapa institusi pengajian tinggi datang untuk membuat kajian.

“Kali terakhir pada 2008, pelajar Politeknik Kuantan meluangkan masa beberapa bulan membuat kajian rumah ini.

“Ada yang fikir rumah ini tiada penghuni dan ada juga yang datang mengambil gambar kerana tertarik dengan seni binanya, kata bapa tiga anak perempuan berusia 12 hingga 18 tahun ini.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut