JIM JALIN KERJASAMA DENGAN MC, JMB TANGANI ISU PATI

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) menerusi sesi libat urus bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, sesi libat urus itu juga diadakan dengan kerjasama dengan Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL).

“Program ini dirancang sejak dua bulan lalu sebagai salah satu strategi penguatkuasaan bagi menangani isu kebanjiran Pati dengan membabitkan semua pihak berkaitan.

“Dalam konteks ini, pemegang taruhnya adalah pihak MC dan JMB di apartmen, kondominium serta flat di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus MC, JMB dan Badan Pengurusan Bersama oleh JIM Kuala Lumpur di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah merangkap Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Siti Maizun Arshad.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya menjemput wakil MC dan JMB dari 25 bangunan strata yang pernah membuat aduan mengenai warga asing kepada JIM Kuala Lumpur.

“Peranan MC dan JMB adalah penting kerana ia adalah saluran bagi kami untuk menyampaikan pengetahuan berkaitan warga asing kepada penghuni di kawasan mereka.

“Menerusi program ini, kami boleh sampaikan maklumat dan memberi pendedahan undang-undang imigresen serta Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757],” katanya.

Katanya, sesi libat urus pada hari ini adalah sesi pertama dalam program berkenaan yang akan diteruskan dengan pelaksanaannya diadakan enam bulan sekali.

“Berdasarkan maklum balas daripada wakil MC dan JMB yang hadir, kita nampak mereka teruja dengan kerjasama ini.

“Kami berharap program ini akan terus mendapat sambutan dalam kalangan wakil MC dan JMB bagi bangunan strata di seluruh ibu kota ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JIM Kuala Lumpur menerima 459 aduan bagi tempoh 1 Januari lalu sehingga kelmarin.

“Daripada jumlah itu, ada aduan diterima membabitkan 25 kondominium dan 14 flat di sekitar Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh sama, kami sudah menjalankan 285 operasi dengan seramai 714 Pati ditahan. Kami turut menahan 61 majikan dengan 21 daripadanya adalah pemilik premis.

“Dari segi jumlah kompaun pula, sebanyak RM256,000 dikutip bagi suku pertama tahun ini,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Artikel/Berita Terkini

SELAMATKAN DIRI DENGAN UBAH KEPADA GAYA HIDUP SIHAT

Kesihatan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat atau negara. Tanpa disedari, corak …
Maklumat Lanjut

KEPKAS AMBIL TINDAKAN SUSULAN INSIDEN PELANCONG CHINA CEDERA AKTIVITI PARAGLIDING DI RANAU

KOTA KINABALU (30 April): Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar melalui agensinya Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang membuat susulan berhubung …
Maklumat Lanjut

PESTA KAAMATAN MENGINGATKAN SEMUA UNTUK BERUSAHA LEBIH GIAT LAGI: HAJIJI

RANAU (1 Mei): Sambutan Pesta Kaamatan memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan …
Maklumat Lanjut