PENYELUDUPAN TERNAKAN JEJAS KESELAMATAN MAKANAN – SULTAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Penyeludupan haiwan ternakan tanpa saringan kesihatan dan sijil pengesahan bebas penyakit akan memberi kesan kepada keselamatan makanan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kemasukan haiwan ternakan tanpa saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan tempatan.

“Permintaan tinggi kepada ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan kepada rakyat.

“Penguatkuasaan berterusan termasuk di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiat agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan terkawal dan tidak berleluasa,” titah baginda ketika merasmikan istiadat pembukaan penggal kedua Dewan Undangan negeri (DUN) Ke-15 di sini, hari ini.

Turut berangkat Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.

Mengiringi Sultan Mizan dan Tengku Muhammad ialah Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Nor Hamzah, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Sultan Mizan turut bertitah, perancangan pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Sumber Perikanan Negara 2019 hingga 2023 mencatat peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin.

Titah baginda, sebanyak 13.143 tan metrik sumber marin berjaya direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menerus dan memperkasa program menerusi fokus kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.

“Banci pertanian keempat yang sedang dilaksanakan Kementerian Ekonomi turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Mizan turut menitahkan kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menyusun strategi merangkumi perancangan projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025.

“Kerajaan beta memperuntuk sebanyak RM1.86 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun ini,” titah baginda.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut