Analisis makmal terhadap sampel ketiga kupang dan air yang diambil dari perairan Port Dickson masih mengesan wujudnya biotoksin berbahaya. Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), Kasim Tawe, berikutan itu larangan terhadap pengambilan kerang-kerangan di perairan Port Dickson masih lagi dikuatkuasakan demi keselamatan pengguna.
Sampel ketiga telah dianalisis di Makmal Biosekuriti Kuala Lumpur dan mendapati masih terdapat biotoksin melebihi dari kadar yang selamat. Sampel keempat telah diambil sekali lagi di perairan Port Dickson dan dihantar ke makmal pada 22 April lalu. Keputusan analisis makmal dijangka akan diketahui pada Jumaat ini.
Secara keseluruhan kadar biotoksin yang dikesan dalam sampel ketiga telah berkurangan berbanding sampel kedua. Satu lokasi sampel yang diambil masih melebihi tahap selamat biotoksin dan satu tempat telah kurang. Pemantauan di lapangan menunjukkan penternak dan peniaga mematuhi larangan penjualan dengan baik. Pada masa sama, ujar beliau, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Nelayan terus memantau rapat berkenaan isu tersebut.
Pada 4 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Wan Aznan Abdullah dilaporkan berkata, hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan. Sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.
Sumber: Sinar Harian