LEBIH 1,000 PENGUNJUNG IMARAHKAN PROGRAM IFTAR MADANI @ BATU SAPI 2024

SANDAKAN (30 Mac): Lebih 1,000 pengunjung hadir mengimarahkan program Iftar Madani @ Batu Sapi 2024 yang julung kali diadakan di Jalan Coastal, Bandar Sandakan, semalam.

Program itu merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni Industri Kreatif Kota Kinabalu (BAYU) berserta rakan penganjur dari pelbagai agensi.

Timbalan Menteri MOTAC merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program itu adalah kesinambungan daripada pelaksanaan program Pelancongan Budaya (Culture Based Tourism) yang dianjurkan setiap tahun di Kuala Lumpur iaitu Iftar@KL.

Katanya, tahun ini merupakan tahun ke-12 penganjurannya yang telah berjaya menarik seramai 35,000 pengunjung untuk bersama dalam program Iftar@KL 2024.

“Program ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan serta mengangkat keunikan seni budaya setempat bagi memulihara dan mengekalkan warisan kesenian di samping usaha untuk menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

“Program Iftar Madani @ Batu Sapi 2024 ini juga merupakan program iftar secara beramai-ramai dan terbuka yang julung kali diadakan di luar daripada Kuala Lumpur iaitu di Sabah. Sandakan menjadi destinasi bertuah terpilih sebagai penganjuran program iftar pada tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Iftar Madani @ Batu Sapi 2024 telah berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung dan ia juga merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai-nilai murni dan jati diri dalam kalangan masyarakat bandar khususnya generasi muda.

Jelasnya, ia seperti contoh melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan.

“Penganjuran program sebegini juga merupakan tanggungjawab sosial kementerian ini ke arah mencerminkan Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Selain iftar secara terbuka, program itu turut diisi dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian Islam termasuk jualan bazar Ramadan, agihan bubur lambuk, ceramah dan forum agama, solat terawih berjemaah, persembahan nasyid dan qasidah oleh sekolah tahfiz dan sekolah pondok serta artis tempatan Fiq Mentor.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk George Hiew dan Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Sabah News Today

 

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut