Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, hal ini susulan permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada 29 Mac ini dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku sejak 11 Nov lepas. Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat. Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.