KOTA KINABALU: Seorang anggota bomba wanita dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran di Kampung Keliangau 2, Tebobon, Menggatal dekat sini, Rabu.
Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima kecemasan mengenai kebakaran itu jam 10.05 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota bersama jentera bomba dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.
Beliau berkata kebakaran itu membabitkan rumah serta sebuah bengkel persendirian, dan turut terbakar sepenuhnya tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Perodua Kancil.
“Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.44 pagi,” katanya ketika dihubungi pemberita, Rabu. Operasi memadam kebakaran dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut berada di lokasi kejadian.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Harian Ekspres Sabah