KOTA KINABALU (18 Mac): Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BorneoMed Sdn Bhd berhubung pemberian skim insurans kepada penerima kebajikan.
Skim Insurans Kemalangan Rakyat Sabah yang disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad dicipta khas untuk rakyat Sabah yang merupakan penerima bantuan kebajikan tersebut. BorneoMed Sdn Bhd ialah penasihat dan wakil korporat kepada Takaful Ikhlas General Berhad dan pelaksana Skim Insurans Kemalangan Rakyat Sabah.
MoU itu menyatakan persetujuan kedua-dua KPMKR dan BorneoMed Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam menawarkan skim ini kepada penerima kebajikan berumur 18 hingga 80 tahun. Pelanggan boleh memilih untuk membeli insurans ini pada kadar mampu milik RM10 setahun.
Turut dinyatakan dalam perjanjian tersebut ialah jumlah pampasan dan faedah kewangan yang akan diterima sekiranya berlaku kemalangan. Kerjasama ini adalah selama 5 tahun.
Sementara itu, Menterinya, Datuk James Ratib berkata inisiatif itu diperkenalkan kerajaan bagi melindungi mereka yang kurang berkemampuan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan.
James yang hadir menyempurnakan MoU pada 11 Mac 2024 itu berkata, penerima kebajikan berumur 18 hingga 80 tahun boleh memilih untuk membeli insurans ini pada kadar RM10 setahun.
Tambahnya, skim perlindungan ini akan menawarkan pampasan dan faedah kewangan sekiranya berlaku kemalangan.
MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Tetap KPMKR Maria Chong dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Walter Kenson. Manakala BorneoMed Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Fauzi Mohd dan disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Patrick Teoh. Majlis menandatangani dan serah terima tugas telah disaksikan oleh James dan PCEO Takaful Ikhlas General Berhad Dato’ Rudy Rodzila Che Lamin.
Skim Insurans Kemalangan Rakyat Sabah dijangka dilancarkan pada 30 Mac ini di Daerah Paitan.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Harian Ekspres Sabah