SEMARAK DAN HARMONIKAN HUBUNGAN ANTARA KAUM

Masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama memang menjadi cabaran kepada kebanyakan negara khususnya dalam mengurus kemajmukan sosial itu. Cabaran itu wujud, terutama dalam aspek membentuk keharmonian, keamanan dan interaksi positif antara kaum, agama serta budaya, sekali gus memerlukan pendekatan berhemah serta penuh rasa hormat.

Sebagai negara moden yang melakar masa depan lebih dinamik dan berusaha memposisikan diri sebagai negara maju, cabaran berterusan dalam arus globalisasi dan pasca kemodenan menjadi realiti perlu ditangani sebaik mungkin.

Ini termasuk ancaman pelbagai krisis berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu berkaitan pencabulan hak kemanusiaan. Sekiranya tidak diatasi dengan baik dan berhemah, ia akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Malaysia perlu dikenali bukan hanya makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, malah menjadi negara beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, sekali gus dapat bersama dalam suasana aman serta hamoni.

Perpaduan nasional harus menjadi misi penting bagi negara. Ia memerlukan kerangka bersifat komprehensif yang akan mampu menterjemahkan sebaik mungkin wajah kerencaman masyarakat majmuk Malaysia. Keadilan, penerimaan dan toleransi perlu menjadi nilai asas kepada kerangka perpaduan nasional ini.

Kesantunan insan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa perlu dititikberatkan. Ini realiti harus difahami dan diterima semua pihak.

Pendekatan integrasi menjadi tunjang agenda perpaduan negara membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai penganut agama dan mengamalkan budaya berbeza, sifat kebersamaan serta cintakan keharmonian dan keamanan perlu ada bagi merealisasikan matlamat perpaduan nasional.

Kesepaduan dalam rakyat sebenarnya lahir daripada semangat penerimaan dan rasa hormat tinggi antara kaum dan agama. Justeru, keutamaan harus diberi kepada usaha membina sikap penerimaan diiringi nilai keluhuran budi pekerti dalam masyarakat.

Keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman baik terhadap peranan masing-masing untuk menerapkan nilai murni dalam interaksi seharian.

Hubungan baik dalam masyarakat berbilang bangsa tidak boleh dijadikan taruhan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda peribadi atau kelompok tersendiri. Perlu ada belas kasihan kepada rakyat yang inginkan keamanan dan kestabilan negara agar berpeluang untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan selamat dan terjamin. Cukuplah kekacauan dan konflik di negara asing sebagai pengajaran kepada kita.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam menggalas kewajipan ini. Pemimpin pelbagai peringkat, terutama harus senada dalam merealisasikan agenda perpaduan negara demi melahirkan sebuah negara malaysia yang aman damai.

Daripada 9 Teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, hubungan berbilang kaum ini merujuk kepada Teras ke-3 iaitu Kesepaduan Nasional. Kita jangan sesekali alpa kerana perpaduan yang dimiliki sekarang ini amat mahal nilainya dan harus diperkukuh agar tiada sedikitpun ruang untuk diganggu gugat oleh sesiapa. Ruang-ruang serta lompong-lompong yang ada haruslah sama-sama kita tangani dengan penuh hemah agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.

Persefahaman dalam kalangan pemimpin juga amat penting kerana melaluinya, rakyat akan dapat isyarat yang jelas mengharmonikan hubungan masyarakat berbilang bangsa dan budaya di negara ini adalah tanggungjawab semua warganegara.

Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing. Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut