Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan untuk mendirikan Ramadan (dengan amalan soleh) tanpa menyuruh mereka dengan
‘azimah (kesungguhan yang menunjukkan wajib) dan Baginda SAW bersabda:
Sesiapa yang mendirikan Ramadan (solat tarawih) dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang telah lalu. Maka selepas Rasulullah SAW wafat, perkara itu adalah tetap diteruskan seperti itu. Demikian pula pada zaman Khilafah Abu Bakar RA hingga pada permulaan Khilafah ‘Umar RA adalah tetap diteruskan seperti itu.”
(Riwayat Muslim, Kitab al-Masajid, Wa Mawdhiú as-Solati, Bab at-Taghribu Fi Qiyami Ramadana Wa Huwa at-Tarawih, no. 759)
Pengajaran hadis
- Amalan menghidupkan malam Ramadan adalah sunnah Nabi SAW dan antara amalan yang disunatkan adalah solat-solat sunat seperti solat tarawih, solat tahajud, solat witir dan lain-lain.
- Ibadah-ibadah sunat yang lain seperti membaca al-Quran, bersedekah, iktikaf dan lain-lain turut dikira sebagai menghidupkan malam Ramadan.
- Allah SWT menjanjikan keampunan kepada sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan kerana amalan yang baik akan menghapuskan dosa.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia