73 PEK KURMA DIPERCAYAI PRODUK ISRAEL DIRAMPAS, SEORANG LELAKI DITAHAN

KLANG, 13 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73 pek kurma disyaki produk dari Israel dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan pada 12 Mac 2024.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata dalam serbuan 11.30 pagi itu pihaknya menemukan produk dengan label ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.

“Sebanyak 14.6 kilogram pek kurma bernilai RM678 dirampas dan pemeriksaan ke atas spesifikasi produk pada pek berkenaan juga menemukan perkataan ‘product of Israel’. Kita percaya kurma ini dibawa masuk dari sebuah negara eropah sejak 2022,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik perniagaan itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya serbuan dan pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular di media sosial baru-baru ini berkenaan sebuah premis menjual kurma yang disyaki produk dari Israel.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PENDUDUK BANTAH ‘PROJEK HARAM’ PUSAT PERLINDUNGAN ANJING LIAR

Sebuah pusat perlindungan anjing liar didakwa dibina secara haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tanah rizab kerajaan di …
Maklumat Lanjut

PENIAGA RUGI RM677,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

Seorang peniaga makanan sejuk beku di Nilai mengalami kerugian lebih RM677,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan perniagaan atas talian dipercayai …
Maklumat Lanjut

PROGRAM COMMUNITY BASED SECURITY MANAGEMENT (CBSM) BERSAMA IPD JELEBU

3 Julai 2025: Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk melaksanakan program bersama Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah …
Maklumat Lanjut