WANITA DIJULANG, NEGARA GEMILANG

“Berdirinya sama tinggi, akalnya sama ligat, cerdiknya tidak dinafi, kudratnya sama kuat”

Hari ini adalah hari yang cukup istimewa untuk insan bergelar wanita. Hari ini adalah hari kita merayakan dan menghormati separuh populasi dunia yang telah membawa keindahan, warna dan kekuatan di dalam kehidupan kita. Mana mungkin kita wujud di dunia ini tanpanya. Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut saban tahun setiap kali tiba 8 Mac, memberikan ruang untuk kita berfikir sejenak, merenung dalam dan mengiktiraf sumbangan luar biasa mana-mana wanita hebat yang kita kenali.

Mengambil tema “Wanita Dijulang, Negara Gemilang”, mengajak kita semua berfikir dan bertindak untuk memastikan peranan wanita sentiasa dihormati dan diletakkan di aras tinggi yang selayaknya. Hari ini adalah hari kita bersama-sama menghargai perjuangan dan pencapaian wanita-wanita yang telah membentuk sejarah serta mencetus inspirasi kepada generasi yang terkemudian.

Merenung masa lalu, kita tidak boleh mengabaikan perjuangan wanita sepanjang sejarah yang telah membentuk hak dan kedudukannya di dalam masyarakat. Resam disebut sebagai orang dapur, kini wanita tidak lagi sinonim dengan sedemikian. Berdirinya sama tinggi, akalnya sama ligat, cerdiknya tidak dinafi, kudratnya sama kuat. Wanita kini juga adalah agen perubahan yang mendorong dunia dan komuniti ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan membangun. Malah, sejarah turut merakamkan penglibatan penting wanita di dalam Pasukan Home Guard sewaktu ancaman komunis suatu ketika dahulu. Mereka tidak kekok memegang senjata malah keberanian mereka diiktiraf setara dengan kaum lelaki yang turun berjuang bersama.

Namun, sambutan pada hari ini, bukanlah semata-mata untuk memperingati pencapaian dan kejayaan tetapi juga kesempatan untuk merenung isu-isu yang pernah dihadapi mereka sebelum ini yang boleh dijadikan iktibar dan panduan. Tidak dinafikan, masih wujud pemikiran diskriminasi dalam bidang pekerjaan, kesamarataan dalam imbuhan dan ancaman kekerasan dari kumpulan lelaki alpha dalam perhubungan. Kesemua ini hanya mampu diubah dengan setiap daripada kita memilih untuk berjanji dan berusaha menghapuskan ketidakadilan yang wujud bagi memastikan wanita mempunyai peluang yang sama untuk berkembang hebat.

Di dalam dunia yang semakin laju dan kompleks ini, kita harus meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang seperti sains, teknologi, keusahawanan, kenegaraan, seni mahupun politik. Nama-nama besar dalam negara seperti Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, Tan Seri Dato’ Seri Rafidah Aziz, Prof Madya Wan Wardatul Amani Wan Salim, Tun Fatimah Hashim, Datuk Nicol David dan banyak nama lain adalah sebahagian dari ribuan wanita yang telah mengharumkan dan meninggalkan impak besar kepada imej negara. Kepelbagaian peranan wanita ini membentuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.

Hari ini adalah hari untuk meraikan keberanian, kecekalan dan kebijaksanaan wanita. Hari ini adalah hari kita membulatkan tekad dan komitmen untuk merapatkan jurang gender, berusaha memahami antara satu dengan yang lain dan membina masyarakat yang lebih adil dan inklusif. Kita harus berterima kasih kepada semua wanita yang telah dan sedang mencorakkan dunia yang lebih ceria.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa!

Penulis: Mior Ahmad Shah Mior Shahidin

Artikel/Berita Terkini

JPJ: OPERASI KHAS MOTOSIKAL TUMPU LAPAN KESALAHAN UTAMA HINGGA 31 DISEMBER 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua (2) bulan bermula 1 November 2024 …
Maklumat Lanjut

APAKAH TUJUAN AKAUN PERSARAAN, AKAUN SEJAHTERA DAN AKAUN FLEKSIBEL?

Jom fahami penerangan ringkas tentang fungsi Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3). Untuk …
Maklumat Lanjut

KES AMANG SEKSUAL GISBH: MAHKAMAH TETAP 18 NOVEMBER SERAHAN LAPORAN PERUBATAN MANGSA

Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 18 November depan untuk serahan laporan perubatan bagi kes amang seksual melibatkan empat …
Maklumat Lanjut