107,716 KES PENIPUAN DALAM TALIAN DIKESAN DARI 2020 HINGGA 2023

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kira-kira 107,716 kes penipuan dalam talian dikesan dari tahun 2020 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi, M.Kulasegaran memaklumkan, kes penipuan itu melibatkan kerugian mencecah RM3.2 bilion.

Menurut Kulasegaran, kerajaan mengambil cakna terhadap isu seumpamanya menerusi pelbagai tindakan proaktif termasuk menubuhkan  Pusat Respons Penipuan Peringkat Kebangsaan (NSRC).

Tambahnya, NSRC berfungsi sebagai  pusat respons pantas setempat yang menggabungkan sumber serta kepakaran daripada  Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta disokong oleh pihak institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

“Secara umumnya fungsi NSRC adalah untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang  menyeluruh bagi memerangi kesalahan penipuan kewangan atas talian termasuk respons pantas dalam menjejaki dana (fund tracing).

“Usaha yang dilaksanakan berupaya menyekat sebahagian pengaliran dan pelupusan hasil penipuan termasuk mengesan dalang utama dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perlakuan kesalahan ini”, katanya di Parlimen hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan yang  diajukan wakil Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad, M.Kulasegaran menjelaskan, mangsa penipuan dalam talian turut dibantu oleh institusi kewangan untuk mengesan jejak kewangan mereka sekiranya wang tersebut masih berada dalam sistem perbankan.

Antara tindakan yang boleh dilakukan termasuk menyekat transaksi kewangan berkenaan, bagi menghalang pelupusan wang sekali gus membolehkan wang itu dikembalikan semula kepada mangsa.

“Selain dari itu, NSRC menerusi SKMM dan dibantu oleh institusi telekomunikasi dapat mengenal pasti nombor-nombor telefon yang digunakan dalam perlakuan kesalahan penipuan ini.

“Tindakan sekatan dan penamatan nombor-nombor telefon berkenaan juga akan diambil.

“Setakat Januari 2024, sebanyak 131 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 93 nombor talian yang meragukan telah disekat. Nombor-nombor akaun dan telefon yang terbabit itu juga akan direkodkan dalam sistem semak ‘mule’ pada PDRM sebagai rujukan dan panduan yang membolehkan orang awam membuat semakan sebelum mereka meneruskan transaksi kewangan mereka”, kata Kulasegaran di sini.

-BERITA RTM

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut