ASRAMA HARAM PEKERJA ASING DAIF, KOTOR DISERBU

Daif, kotor dan tidak terurus selain tidak dilengkapi kemudahan asas yang sempurna. Itu gambaran keadaan asrama haram yang menempatkan seramai 165 pekerja warga asing di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut di sini yang diserbu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan dalam Operasi Bersepadu Mega Gegar atau Ops Gegar pada Rabu.

Malah bangunan dua tingkat tersebut kelihatan seperti bangunan tinggal kerana keadaan persekitarannya yang agak terbiar. Tidak keterlaluan jika dikatakan majikan mereka menyediakan tempat tinggal dengan keadaan ‘asal ada’.

Menurut Ketua Pengarah JTK Semenanjung Malaysia, Kamal Pardi, pekerja warga asing tersebut bekerja di sebuah kilang perabot yang menggajikan seramai 240 pekerja termasuk 80 pekerja tempatan. Syarikat ini menyediakan penginapan kepada para pekerja yang digajikan namun didapati tidak kondusif dan tiada Perakuan Penginapan daripada JTK. Ini jelas menunjukkan majikan melakukan pelanggaran terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Hadir sama, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengarah JTK Negeri Sembilan, Roslan Bahari. Hasil semakan JTKSM Negeri Sembilan juga mendapati, majikan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapat perakuan.

Majikan sepatutnya menyediakan tempat penginapan pekerja yang kondusif termasuk kemudahan asas iaitu katil, tilam, almari berkunci dan penginapan itu perlu diselenggara. Hasil operasi tersebut mendapati majikan tidak menyediakan kemudahan yang kondusif bagi pekerja mereka seperti peruntukan ditetapkan dalam Akta 446.

Pihaknya melihat keadaan asrama yang menempatkan sekitar 150 pekerja asing ini agak daif dan tidak terurus serta terdapat bau yang tidak menyenangkan. Keadaan tempat tidur bersepah walaupun ada menyediakan katil dan tilam.

Dalam Ops Gegar yang dijalankan di seluruh negara pada Rabu, sebanyak 31 syarikat pelbagai sektor dilawati dan 49 kertas siasatan dibuka membabitkan pemeriksaan seramai 1,235 pekerja tempatan dan 2,652 orang pekerja asing. Tumpuan pihaknya adalah berkaitan Akta 446, Akta Kerja 1955 dan perintah gaji minimum. Namun kebanyakan majikan walaupun bukan semua, masih tidak memberikan perhatian kepada peraturan yang ditetapkan ini.

Dalam pada itu Veerapan memberi tempoh tiga bulan kepada majikan untuk memindahkan pekerja mereka di Pusat Penempatan Pekerja Asing (CLQ) disediakan. Menurutnya, setakat ini terdapat 25 CLQ di Negeri Sembilan yang telah berdaftar di bawah JTK.

Beliau juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah untuk buat penguatkuasaan ke atas lokasi-lokasi penginapan haram pekerja asing dan jika tiada kebenaran, tindakan perlu diambil.

Selain kakitangan JTK, operasi turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

JUMLAH MISKIN TEGAR DI TERENGGANU BERKURANGAN SEBANYAK 3,268

Statistik jumlah miskin tegar di Terengganu menunjukkan jumlah pengurangan sebanyak 3,268 keluarga dalam tempoh empat bulan pada tahun ini. Timbalan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN NEGERI HARGAI PERANAN MEDIA DI SABAH

KOTA KINABALU (7 Mei): Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha …
Maklumat Lanjut

PELAJAR DI NEGARA BERGOLAK DIMINTA KEMASKINI MAKLUMAT KEPADA KEDUTAAN

BONGAWAN (6 Mei): Pelajar terutama di negara bergolak, diminta untuk sentiasa mengemaskini maklumat dan lokasi kepada pejabat kedutaan. Timbalan Menteri …
Maklumat Lanjut