SCAM ATAU PRANK?

Menipu, memanipulasi, menganiyai, menyalahguna. Semua kata kerja ini sangat mudah dikaitkan dengan elemen-elemen dalam aktiviti scam atau penipuan dalam talian. Pada 9 Februari 2024, seorang bekas pensyarah university berusia 61 tahun telah dihubungi oleh penjenayah yang menyamar sebagai pegawai National Scam Response Centre (NSRC) yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.43 juta kepada beliau.

 

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kes jenayah penipuan kewangan meningkat sebanyak 37 peratus kepada 32,366 kes dalam tempoh Januari hingga November tahun 2023 berbanding tempoh sama tahun 2022 yang merekodkan 23,608 kes.

 

Antara undang-undang yang relevan bagi membanteras penipuan dan scam di Malaysia termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 – AMLATFA). Undang-undang ini bertujuan untuk mencegah dan mengatasi kegiatan pencucian wang, pembiayaan terrorisme, dan transaksi kewangan yang melibatkan kegiatan haram.

 

Selain itu, Malaysia juga memiliki Undang-undang Perlindungan Pengguna (Consumer Protection Act) yang melindungi pengguna dari penipuan dan amalan perniagaan yang tidak adil. Terdapat juga undang-undang yang mengatur sektor kewangan seperti Bank Negara Malaysia Act dan Securities Commission Act yang berkemampuan untuk melawan penipuan di sektor kewangan.

 

Dalam tinjauan yang dilakukan oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia, mendapati tiga perempat daripada penduduk Malaysia menjadi sasaran penipuan dan peningkatan dalam suku tahun terakhir 2023 mendapati 76 peratus daripada 1,000 responden yang terlibat dalam kaji selidik itu menyatakan pernah terjerat.

 

51 peratus responden pula melaporkan mereka berdepan penipuan tiga bulan lalu, 26 peratus berdepan penipuan sebulan yang lalu dan 14 peratus berdepan penipuan seminggu lalu.

 

Antara faktor yang menyebabkan orang ramai terpalit dengan isu scam adalah kerana terpedaya dengan kelicikan penjenayah mengolah maklumat peribadi mangsa dan memanipulasi psikologi mangsa dengan mencetuskan perasaan panik dalam kalangan mangsa dan minta mangsa untuk membuat keputusan dengan tergesa-gesa sekaligus menyebabkan mangsa tersalah membuat keputusan dan menyerahkan pelbagai maklumat penting dan detail kewangan.

 

Polis percaya angka sebenar mangsa dan jumlah kerugian adalah lebih besar kerana ramai yang didapati tidak tampil melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa atas pelbagai faktor, termasuk berasa malu kerana melibatkan status sosial dan kerjaya mereka.

 

Hal ini disokong oleh kaji selidik firma penyelidikan pasaran Ipsos Malaysia pada 19 Disember lalu yang mendedahkan tidak sampai 50 peratus mangsa penipuan di negara ini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, dengan sebahagian kecil pula memilih berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.

 

Pakar berpandangan bahawa antara langkah bagi mengelakkan diri menjadi mangsa kepada penipuan ini, pengguna telefon pintar perlu memuat turun aplikasi yang dapat membuat saringan seperti Truecaller dan Whoscall.

 

Kerajaan juga telah mewujudkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi melalui penggilan terus ke nombor 997 atau melalui website https://semaksmule.rmp.gov.my .

 

NSRC adalah pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian. Di antara penipuan kewangan dalam talian ini adalah memancing data (phishing), Macau scam, serangan perisian hasad (malware), penipuan penghantaran barangan atau bungkusan (parcel scam) dan love scam.

 

Sejak ditubuhkan pada Oktober 2022 hingga 30 Nov 2023, NSRC merekodkan kes dengan jumlah kerugian RM173 juta, dan daripada jumlah itu, wang yang berjaya disekat daripada jatuh ke tangan penjenayah ialah sebanyak RM33 juta.

 

Orang awam dinasihatkan tidak terlibat dengan menyerahkan maklumat akaun atau menyewa akaun kepada pihak lain yang membolehkan tindakan undang-undang diambil atas khidmat β€˜keldai akaun’.

 

Penulis: Wan Akmal Irsyad Wan Ghazali

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Kedah

 

Sumber :

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/12/1045150/rakyat-malaysia-mudah-dipancing-scammer

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rm42-juta-lesap-angkara-scammer-458735

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bekas-pensyarah-berputih-mata-rm143-juta-lesap-diperdaya-scammer-457630

https://www.astroawani.com/videos/agenda-awani-x7kldz/agenda-awani-angkara-scammer-negara-rugi-berbilion-ringgit-x8s8ljk