EL NINO – SELANGOR PUNYAI SIMPANAN AIR SETAKAT 9 BULAN

Shah Alam: 8 FEB : Selangor mempunyai simpanan bekalan air yang dapat menampung keperluan penduduk untuk tempoh kira-kira sembilan bulan bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan.

“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri Selangor itu sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.

“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.

Berkaitan lawatan beliau hari ini, Izham berkata, projek itu merangkumi kerja-kerja pendalaman dan pelebaran 56 kilometer Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing serta pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 membabitkan kos RM700 juta.

Katanya, usaha itu berdepan cabaran ekoran timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam dua hingga tiga meter, berbanding empat meter ketinggian sungai yang menyukarkan operasi pendalaman dan pelebaran sungai.

“Barangan buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya.

“Kami harap, dengan penambahan jentera pengorek sedut pemotong, masalah ini dapat diurus dengan lebih baik,” katanya.

Izham berkata, projek itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40 peratus apabila siap sepenuhnya.

-BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

600 ANJING TERBIAR DITANGKAP SETAKAT MEI – MBS

Sebanyak 600 ekor anjing terbiar telah berjaya ditangkap oleh kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh lima bulan …
Maklumat Lanjut

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut