Marcapada digital, telefon pintar telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Kita bergantung kepada peralatan ini untuk pelbagai tugas, daripada komunikasi peribadi kepada urusan perbankan dan membeli-belah. Walau bagaimanapun dan semudah mana pun perlatan ini, terdapat ancaman keselamatan yang perlu diketahui, salah satunya ialah “juice jacking.”
Apa itu Juice Jacking?
Juice jacking merupakan istilah yang diguna pakai untuk menerangkan teknik penggodaman di mana penjenayah siber memanipulasi port pengecasan USB awam untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran ke atas peranti anda. Kemudahan ini biasanya ditemui di lokasi awam seperti lapangan terbang, kafe dan pusat beli-belah. Infra ini membolehkan pengguna mengecas peranti mereka dengan mudah.
Bagaimana Juice Jacking berlaku?
Apabila anda memasang peranti ke dalam port USB yang telah terjejas, penjenayah siber berkemungkinan mendapat capaian kepada data telefon pintar anda atau menjangkitinya dengan perisian hasad (malware). Mereka boleh mengeksploitasi kelemahan port USB tersebut atau menggunakan kaedah yang lebih canggih untuk merampas sambungan ke data peranti anda. Setelah sambungan berlaku, penggodam boleh mengakses peranti anda dari jauh, mencuri maklumat sensitif atau memasang perisian hasad (malicious software) tanpa pengetahuan anda.
Lindungi peranti anda daripada ancaman Juice Jacking:
Walaupun aktiviti juice jacking mungkin kedengaran menakutkan, anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi telefon pintar daripada ancaman serangan secara siber. Berikut merupakan beberapa petua untuk diamalkan:
- Bawa pengecas peribadi: Daripada bergantung pada port pengecasan USB awam, bawa pengecas atau power bank anda sendiri. Dengan menggunakan pengecas peribadi, anda akan mengelakkan risiko memasang pada port pengecas USB awam yang terjejas.
- Nyahaktif (disable) pemindahan data: Pastikan ciri pemindahan data pada telefon pintar anda dinyahaktifkan apabila anda menyambungkannya ke peranti lain atau port Ini akan menghalang sebarang bentuk pemindahan data yang tidak diingini dan sekaligus mengurangkan risiko juice jacking.
- Gunakan penyekat data (data blocker): Penyekat data USB, atau lebih dikenali sebagai “kondom USB,” merupakan peranti kecil yang membolehkan anda mengecas telefon pintar anda dengan selamat sambil menyekat sebarang bentuk pemindahan data. Peranti ini menyediakan perlindungan tambahan daripada juice jacking dan ianya mudah didapati pada harga mampu milik.
Dalam era teknologi kepintaran buatan yang semakin maju ini, adalah penting untuk rakyat Malaysia mengetahui potensi ancaman keselamatan siber seperti juice jacking. Melalui amalan langkah-langkah pencegahan mudah seperti di atas, anda boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa serangan siber. Rakyat Malaysia perlu lebih proaktif dan sentiasa berwaspada. Selain itu, tingkatkan pengetahuan digital anda melalui portal www.ai.gov.my yang telah dibangunkan oleh kerajaan.
Majlis Keselamatan Negara
Negeri Kedah