PENJAWAT AWAM PERLU LENGKAPKAN PROGRAM AI UNTUK RAKYAT

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu melengkapkan program pembelajaran ‘AI (kecerdasan buatan) Untuk Rakyat’ sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran “Pelaksanaan program ‘AI Untuk Rakyat’ Dalam Kalangan Penjawat Awam’ bertarikh 17 Januari lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam pada peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan; pihak berkuasa berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pembabitan penjawat awam dalam program ‘AI Untuk Rakyat’ dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” kata surat edaran itu.

Program AI Untuk Rakyat ialah program pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’.

Laporan penyertaan program ‘AI Untuk Rakyat’ pada peringkat organisasi masing-masing perlu dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel radin.hambali@ekonomi.gov.my.

“Satu salinan laporan itu juga perlu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel johanna.zainal@jpa.gov.my,” katanya.

Berdasarkan surat dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA semalam itu, program AI boleh dicapai menerusi portal ‘AI Untuk Rakyat’ melalui pautan www.ai.gov.my.

Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal ‘AI Untuk Rakyat’ boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel c4ir@mydigital.gov.my seperti tertera dalam portal itu atau e-mel contactus@mydigital.gov.my atau menghubungi talian 03- 88618282.

BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

LEBIH 90 PERATUS MYKIOSK DI NEGERI SEMBILAN SUDAH DIISI

Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga …
Maklumat Lanjut

TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2025

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. RASIONAL TEMA Cerminan visi kerajaan …
Maklumat Lanjut

𝗝𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗜 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗔-𝗠𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗜𝗛𝗔𝗞

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) JANGAN BERI …
Maklumat Lanjut